LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas menafikan panggilan yang menggunakan talian bilik gerakan IPD Lawas bagi tujuan kutipan hutang.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Anak Tindan, menerusi satu kenyataan menegaskan IPD Lawas mengambil maklum berhubung dakwaan terdapat panggilan telefon yang memaparkan nombor 085-285311, iaitu talian bilik gerakan IPD Lawas, bagi tujuan menuntut atau menagih hutang bagi pihak sebuah syarikat swasta.
“IPD Lawas ingin menegaskan bahawa pihak polis tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan talian bilik gerakan IPD Lawas bagi membuat sebarang panggilan untuk tujuan menuntut atau menagih hutang bagi pihak mana-mana individu, syarikat atau institusi komersial.
“Pihak polis menggunakan talian telefon rasmi hanya untuk tugas rasmi berkaitan pemakluman melibatkan kes atau urusan rasmi PDRM sahaja,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi dengan media malam tadi.
Talian 085-285311 merupakan talian rasmi bilik gerakan IPD Lawas yang digunakan bagi urusan rasmi kepolisan serta komunikasi berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana individu yang menghubungi mereka dengan menggunakan atau mendakwa mewakili PDRM bagi tujuan kutipan hutang, tuntutan bayaran atau urusan kewangan bagi pihak mana-mana syarikat, individu atau organisasi.
PDRM turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pemanggil yang tidak dikenali serta tidak membuat sebarang pembayaran atau pemindahan wang hanya berdasarkan arahan melalui panggilan telefon.
Orang ramai turut dinasihatkan membuat semakan terus dengan pihak syarikat berkenaan melalui saluran rasmi syarikat sekiranya terdapat sebarang tuntutan pembayaran.
Mereka juga boleh menghubungi terus IPD Lawas atau balai polis berhampiran sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan menggunakan nama PDRM atau IPD Lawas.
Orang ramai perlu membuat laporan polis sekiranya terdapat unsur penyamaran, penipuan, ugutan atau cubaan memperdayakan mangsa.
Pihak PDRM memandang serius sebarang tindakan menyalahgunakan nama, identiti atau nombor telefon rasmi Polis Diraja Malaysia bagi tujuan memperdaya atau menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat dihargai bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Oleh Adeng Edrus





