SIBU: Seramai 28 penduduk rumah panjang daripada komuniti Rantau Panjang menerima cermin mata percuma hasil susulan pemeriksaan mata yang dijalankan menerusi program Pemimpin Bersama Rakyat, sekali gus membantu meningkatkan kualiti penglihatan dan keselesaan mereka dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, inisiatif berkenaan membuktikan khidmat masyarakat yang dilaksanakan secara berterusan mampu memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Menurutnya, beliau berbesar hati melihat bantuan pemeriksaan mata yang disediakan menerusi program berkenaan diteruskan dengan pemberian cermin mata kepada penduduk yang dikenal pasti memerlukannya.
“Ini merupakan satu bentuk khidmat masyarakat yang sangat praktikal dan kami amat menghargai keprihatinan serta sumbangan berterusan Kelab Lions Sibu Bawang Assan kepada komuniti.
“Kelab Lions bukan sahaja menyediakan pemeriksaan mata percuma kepada penduduk, malah turut membuat tindakan susulan selepas pemeriksaan dengan menyediakan cermin mata percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan cermin mata percuma kepada penerima di Rumah Suria Amat di sini, semalam.
Kevin berkata, program Pemimpin Bersama Rakyat bukan sekadar menjadi platform untuk penduduk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin, malah membuka ruang kepada pelbagai pertubuhan komuniti dan kumpulan sosial untuk mendekati serta memahami keperluan masyarakat.
Katanya, melalui pendekatan itu, organisasi yang terlibat dapat mengenal pasti keperluan sebenar penduduk dan menyalurkan bantuan berdasarkan kepakaran serta sumber yang dimiliki.
Sementara itu, pemeriksaan mata percuma berkenaan dijalankan Kelab Lions Sibu Bawang Assan menerusi Projek SightFirst ketika program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Quarry pada penghujung Julai lalu.
Susulan pemeriksaan dan penilaian yang dijalankan, seramai 28 penduduk dikenal pasti layak menerima cermin mata percuma sebelum kelab berkenaan menguruskan penyediaannya berdasarkan keputusan pemeriksaan mata masing-masing.
Oleh Tarani Lanting





