BINTULU: Tradisi penganjuran kejohanan sukan antara persatuan puak Cina di Bintulu perlu diteruskan secara bergilir bagi memastikan platform berkenaan kekal relevan dalam menghubungkan komuniti serta generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kesediaan setiap persatuan puak mengambil tanggungjawab menganjurkan kejohanan secara bergilir penting bagi memastikan tradisi berkenaan dapat diteruskan dari tahun ke tahun.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan persatuan berkongsi tanggungjawab, malah memberi peluang kepada lebih ramai belia terlibat secara langsung dalam pengurusan dan penganjuran program.
“Sesuatu tradisi hanya dapat diteruskan apabila setiap tahun ada persatuan yang bersedia tampil mengambil alih tanggungjawab.

“Tahun ini Persatuan Puak Liu mengambil giliran, manakala tahun depan dan tahun-tahun berikutnya persatuan lain pula boleh meneruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian 2026 Clan Basketball Competition di Stadium Persatuan Bola Keranjang Bintulu, semalam.
Menurutnya, sokongan dan kerjasama antara persatuan puak penting bagi memastikan kejohanan berkenaan bukan sahaja dapat diteruskan, malah berkembang dari segi penyertaan dan penganjurannya.
Beliau berkata, aktiviti seperti kejohanan sukan juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada anggota puak masing-masing, sebaliknya dimanfaatkan sebagai ruang mempertemukan belia daripada pelbagai persatuan.
“Melalui bola keranjang, belia daripada pelbagai persatuan puak dapat berkumpul, saling mengenali, bertukar kemahiran dan membina persahabatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai golongan muda digalakkan menyertai kumpulan belia dan aktiviti persatuan bagi memastikan kesinambungan organisasi serta tradisi kemasyarakatan.
2026 Clan Basketball Competition berlangsung dari 24 Ogos hingga 4 September, dengan Persatuan Puak Liu Bintulu menerusi kumpulan belianya sebagai penganjur edisi tahun ini.
Johnny Pang turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada Kumpulan Belia Persatuan Puak Liu Bintulu bagi menyokong penganjuran kejohanan tersebut.





