BINTULU: Sebuah bangunan dua tingkat yang dijadikan rumah pekerja serta sebuah bilik pejabat di sebuah kilang di Kemena Industrial Estate, Taman Bandar Jaya, di sini terbakar awal pagi tadi, namun kesemua sembilan penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 3.15 pagi, manakala laporan kedua merekodkan panggilan pada 3.19 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tingkat atas bangunan berkeluasan kira-kira 20 kaki x 60 kaki yang dijadikan rumah pekerja terbakar kira-kira 80 peratus, manakala bahagian bawah terbakar sekitar 30 peratus dan berjaya dikawal.
Kesemua sembilan penghuni, terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa di tingkat bawah serta dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di tingkat atas, berjaya menyelamatkan diri.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, kebakaran turut melibatkan sebuah bilik berstruktur kekal berukuran kira-kira 15 kaki x 20 kaki yang dijadikan pejabat di premis kilang berkenaan.
JBPM Zon Bintulu memaklumkan kebakaran di bilik pejabat itu dianggarkan melibatkan kira-kira 60 peratus struktur.
Operasi pemadaman dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dari bahagian hadapan bangunan, manakala BBP Kidurong menjalankan pemadaman dari bahagian belakang.
BBP Bintulu mengerahkan anggota bersama sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori tangki air ke lokasi kejadian.
Pasukan bantuan BBP Kidurong turut digerakkan bagi membantu operasi pemadaman.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga nozel di bahagian hadapan, manakala satu aliran dengan dua nozel digunakan di bahagian belakang.
Bagi kebakaran bilik pejabat, pasukan bomba turut menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua nozel, dengan bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Operasi tamat pada 7.00 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.





