(Bahagian Kedua)
MINGGU lepas wacana ini telah membicarakan sebahagian daripada perbahasan tentang Malaysia di Parlimen Tanah Melayu. Wacana kali ini akan membicarakan beberapa lagiper bahasan mengenai hal ini.
Perbahasan tentang Malaysia disertai di kedua-dua pihak sama ada sebelah kerajaan mahupun pembangkang. Beberapa persoalan yang diutarakan dalam perbincangan ini cuba dijawab oleh pihak kerajaan.
Dalam ucapan pembukaan perbahasan mengenai pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menghuraikan beberapa perkara penting berkaitan gagasan tersebut
Penjelasan
Minggu lepas dinyatakan beberapa perkara diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman berkisar mengenai gagasan Malaysia. Terdapat beberapa perkara lain juga beliau sentuh dalam ucapan di Dewan Rakyat.
Antara perkara dinyatakan adalah beliau seorang yang mahu mencari jalan secara diplomasi untuk menerangkan tentang rancangan Malaysia kepada negara-negara yang tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia.
Oleh itu beliau menghadiri Sidang Kemuncak di Manila pada 30 Julai hingga 5 Ogos 1963 untuk menerangkan tentang rancangan Malaysia.
Dalam perjumpaan itu beliau menerangkan kepada Presiden Sukarno (Indonesia) dan Presiden Macapagal (Filipina) bahawa rakyat sendiri yang mahukan pembentukan Malaysia.
Sehubungan dengan itu beliau menambah bahawa usaha pembentukan Malaysia bukannya muslihat untuk menjaga dan mengekalkan kepentingan penjajah.

Dalam hal ini adalah penting bagi Tunku untuk menjaga hubungan muhibbah dengan jiran tertangga mereka terutama Indonesia dan Filipina. Ini kerana rakyat di kedua-dua negara itu telah menjalinkan hubungan dengan Tanah Melayu dan wilayah Borneo dalam ikatan sejarah dan kebudayaan sejak beratus-ratus tahun yang lepas.
Atas sebab itu beliau menjelaskan bahawa pentingnya bekerjasama dengan negara jiran untuk memelihara keamanan dan ketenteram di Asia Tenggara.
Atas semangat itu Tunku bersetuju dalam sidang kemuncak itu menjemput wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau proses pembentukan Malaysia.
Beliau percaya bahawa rakyat di Sarawak dan Sabah masih tetap utuh menyokong pembentukan Malaysia. Tunku berharap agar tinjauan PBB tersebut dapat meyakinkan Indonesia dan Filipina untuk menerima kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, sekali gus memperoleh sokongan kedua-dua negara terhadap rancangan pembentukan Malaysia.
Tunku berharap agar peninjuan wakil PBB ini dapat menyiapkan tugas mereka sebelum 31 Ogs 1963 tetapi beliau tetap akur jika tugas itu tidak dapat dilaksanakan sehingga tarikh tersebut, maka tarikh pembentukan Malaysia akan ditunda.
Bagi beliau tindakan ini diambil kerana mahu menghilangkan rasa keraguan dan salah faham kedua-dua negara itu.
Kesediaan Tunku menerima pelaksanaan tinjauan PBB merupakan suatu bentuk kompromi politik yang diambil bagi memastikan rancangan pembentukan Malaysia dapat direalisasikan.
Dalam menjelaskan penangguhan tersebut, Tunku Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Donald Stephens dan Lee Kuan Yew atas kesediaan mereka menerima keputusan penangguhan tarikh pembentukan Malaysia tanpa sebarang bantahan.
Sokongan
Dalam menjawab surat pihak pembangkang yang menuntut agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan, Tunku melihat tuntutan tersebut tidak lebih daripada suatu usaha untuk mengganggu kelancaran pentadbiran dan usaha kerajaan.
Ini kerana pembangkang telah diberi peluang berhujah dan berdebat dalam parlimen selama lebih setahun. Pilihan raya telah diadakan di Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah tetapi yang menang tetap di sebelah pihak yang meyokong Malaysia.
Dalam hal ini, Tunku Abdul Rahman menganggap tuntutan supaya Parlimen dibubarkan sebagai sesuatu yang agak aneh kerana tuntutan tersebut hanya dikemukakan pada saat-saat akhir menjelang pembentukan Malaysia, dan bukannya lebih awal. Oleh itu kerajaan tidak mahu melayan tuntutan seumpama ini.
Oleh itu beliau tidak mahu lagi mendengar perkara-perkara yang boleh mengancam proses pembentukan Malaysia. Beliau yakin bahawa rakyat menyokong rancangan tersebut kecuali pihak yang menentang usaha kerajaan ini.
Kepentingan
Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa wilayah-wilayah baharu nanti mempunyai kepentingan khas sendiri. Dalam hal yang sama juga beliau menyatakan sebuah Kerajaan Pusat yang kuat perlu bagi Malaysia nanti untuk menjalankan tugas pentadbiran dan perlembagaan.
Ini kerana terlalu melayani kepentingan negeri akan menyebabkan kerugian kepada rakyat.
Dalam hal ini, Tunku turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan British atas sokongan yang diberikan terhadap rancangan pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, kedudukan sesebuah wilayah sebagai negeri naungan atau tanah jajahan tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.
Sehubungan itu, kerajaan British melihat pembentukan Malaysia sebagai suatu rancangan yang terbaik bagi membolehkan wilayah-wilayah jajahannya di Borneo mencapai kemerdekaan melalui penyertaan dalam sebuah persekutuan yang lebih luas.
Selain itu beliau mengucap terima kasih kepada pemimpin Singapura, Sarawak dan Sabah yang bersama-sama menyokong rancangan Malaysia walaupun menghadapi cabaran besar di sepanjang proses pembentukan Malaysia.
Beliau juga berterima kasih kepada beberapa pemimpin Tanah Melayu yang terlibat dalam perundingan rancangan Malaysia. Harapan Tunku kepada Malaysia ini adalah Malaysia boleh menjadi negara yang kuat lagi makmur yang menjamin keamanan, keteguhan dan kesejahteraan rakyat.
Tunda
Dalam membincangkan tentang rancangan Malaysia, beberapa perkara disentuh oleh Ahli-Ahli Parlimen Tanah Melayu seperti mengapa kerusi Parlimen Singapura hanya 15 sahaja.
Selain itu ada juga meminta usaha pengesahan perjanjian Malaysia ditunda dahulu. Hal ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Socialist Front iaitu Tan Phock Kin (Tanjong) yang meminta agar pengesahan tentang Perjanjian Malaysia ditunda kerana wakil-wakil PBB belum selesai menjalankan tugas mereka.
Usul ini disokong oleh Ahli Parlimen Parti Islam Semalaya (PAS) iaitu Mohamed Asri Muda (Pasir Puteh).
Tunku menjelaskan bahawa tugas wakil PBB bukanlah untuk mendapatkan persetujuan rakyat Sarawak dan Sabah sama ada menyokong atau menolak pembentukan Malaysia.
Tetapi tugas mereka adalah untuk memastikan pilihan raya yang diadakan sebelum ini di dua wilayah ini mempunyai daftar undi yang sah, pilihan raya dijalankan dengan bebas dan pengundian serta undi-undi dikira dengan betul.
Perbahasan pada hari pertama ini menunjukkan Tunku telah menjelaskan tentang kepentingan Malaysia dibentuk, dan mengenai tiada campu rtangan dalam penentuan diri bagi wilayah baharu.
Malah diplomasi digunakan untuk membantu mengendurkan ketegangan antara Tanah Melayu dengan jirannya mahu penjelasan lebih tentang Malaysia.
Wacana minggu depan akan dilanjutkan perbincangan tentang perbahasan isu ini.
Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





