BINTULU: Penyertaan Kontinjen Bintulu dalam Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (MYJAM15) menjadi sebahagian usaha menggiatkan semula gerakan Pengakap di bahagian ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penglibatan generasi muda dalam aktiviti Pengakap penting dalam melahirkan individu yang berdisiplin, berani, bertanggungjawab dan mempunyai semangat kepimpinan.
Katanya, penyertaan sembilan pelajar Bintulu pada MYJAM15 bukan sekadar memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah menjadi langkah awal dalam memperkukuh semula gerakan Pengakap di Bintulu.
“Bukan sahaja mewakili sekolah, malah membawa panji-panji persaudaraan Bintulu dan Sarawak di pentas kebangsaan.
“Jambori bukan sekadar perhimpunan biasa tetapi merupakan platform terbaik untuk menguji ketahanan fizikal, mental serta mengasah nilai kepimpinan dan disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan Kontinjen Bintulu ke MYJAM15 di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, hari ini.
Johnny Pang berkata, pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang jambori diharap menjadi asas kepada pembentukan pemimpin masa depan, bukan sahaja dalam gerakan Pengakap, malah masyarakat, negeri dan negara.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius sebelum kontinjen berlepas ke Pulau Pinang.
Menurutnya, semua dokumen berkaitan peserta termasuk deklarasi kebenaran ibu bapa dan keperluan rawatan hospital perlu dilengkapkan bagi memastikan kebajikan murid terjamin.
“Kalau pergi tanpa ini (dokumen), semua yang cikgu bawa ni, saya akan ambil tindakan tertutup sebab tidak mengikut laras peraturan Kementerian Pendidikan.
“Kalau tiada (dokumen berkaitan), saya akan ambil tindakan kerana saya tidak mahu seorang sahaja murid saya cedera dan sebagainya,” kata beliau.
Samri turut mengingatkan peserta supaya sentiasa berada dalam kumpulan, mematuhi arahan pemimpin dan memastikan ‘headcount’ dibuat setiap kali aktiviti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pada majlis sama, Johnny Pang turut menyumbangkan RM3,000 bagi membantu menjayakan penyertaan Kontinjen Bintulu ke MYJAM15.
MYJAM15 dijadual berlangsung di Pulau Pinang dari 29 Ogos hingga 4 September ini.
Oleh Carolyne Utih





