Lebih 250 penduduk Krian sertai Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik ketika menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Betong di Rumah Chunggat, Kabo, Krian semalam. Foto ADUN Krian

KRIAN: Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dianjurkan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong mampu menjadi platform penting dalam memperkasa masyarakat luar bandar menerusi penerapan amalan hidup sihat serta peningkatan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Betong kerana menganjurkan program yang mempunyai objektif dan tujuan amat murni dalam membantu usaha kerajaan mentransformasikan masyarakat luar bandar ke arah kehidupan lebih berkualiti dan sejahtera.

“Program seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja memberi pendedahan mengenai aspek kesihatan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Betong di Rumah Chunggat, Kabo, dekat sini semalam.

FRIDAY Belik ketika menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Betong di Rumah Chunggat, Kabo. Foto ADUN Krian

Program berkenaan menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada penduduk beberapa rumah panjang di kawasan Lempa, Kabo, Awik, Krian dan Sebetan.

Penglibatan masyarakat dalam jumlah yang memberangsangkan itu memperlihatkan kesedaran penduduk luar bandar terhadap kepentingan menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Selain itu, sebanyak 16 agensi kerajaan turut mengambil bahagian menerusi penyediaan pameran dan kaunter perkhidmatan bagi membolehkan orang awam mendapatkan maklumat serta khidmat berkaitan secara langsung.

Program bermula seawa 6.30 pagi dengan aktiviti senamrobik dan sesi gotong-royong yang melibatkan penduduk serta peserta program sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian sepanjang hari.

Aktiviti kemudian disusuli sesi ceramah dan taklimat oleh agensi yang mengambil bahagian, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan berkaitan kesihatan, perkhidmatan kerajaan dan aspek kesejahteraan komuniti.

Menurut Friday, pendekatan turun padang seperti itu wajar diteruskan kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat selain memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat turut dirasai oleh penduduk di kawasan luar bandar.

Oleh Adi Safarman