MIRI: Lebih 500 peserta mengambil peluang menyertai Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Motosikal Kelas B2 anjuran Pusat Khidmat Parlimen Miri, yang menawarkan lesen motosikal pada kos hanya RM250.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program berkenaan memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal.
Menurutnya, pada sesi pendaftaran yang diadakan di Permy Jaya, Sabtu lalu, kesemua peserta berjaya menyempurnakan Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dan lulus ujian teori pada hari sama.
“Memiliki lesen memandu kini semakin penting kerana ia bukan sahaja memudahkan pergerakan seharian, malah menjadi aset bernilai untuk masa depan, khususnya bagi mereka yang ingin mencari pekerjaan, meningkatkan pendapatan atau menjalankan aktiviti ekonomi.
“Dari sudut keselamatan jalan raya pula, ia memastikan setiap penunggang mempunyai lesen serta memahami tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan menghormati pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chiew berkata, pelaksanaan program itu turut selari dengan usaha kerajaan meningkatkan mobiliti rakyat, terutama golongan kurang berkemampuan, selain membuka peluang pekerjaan yang memerlukan lesen memandu.
Katanya, Sarawak merekodkan lebih 21,000 kes kemalangan jalan raya pada 2025, justeru program seumpama itu penting dalam membentuk penunggang yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Program ini bukan sekadar membantu peserta mendapatkan lesen pada kos minimum, tetapi turut memberikan latihan serta kesedaran mengenai disiplin dan pematuhan undang-undang jalan raya.
“Pada masa sama, ia menyokong usaha kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata, MyLesen B2 memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk memperoleh kemahiran berkaitan pengangkutan kendiri yang boleh dimanfaatkan sepanjang hayat.
Chiew turut menasihatkan semua peserta supaya meneruskan langkah seterusnya bagi mendapatkan lesen B2 serta berusaha untuk lulus dengan cemerlang.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai rakyat meningkatkan mobiliti, peluang pekerjaan dan taraf kehidupan mereka.
Oleh Liong Chai Ling





