Mobile Service 2U rapat jurang akses perkhidmatan kerajaan di luar bandar

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menyantuni orang ramai ya g hadir ke Program Mobile Service 2U. Foto UKAS

BINTANGOR: Program Mobile Service 2U menjadi pendekatan penting dalam merapatkan jurang akses perkhidmatan kerajaan, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha membawa perkhidmatan terus kepada rakyat bukan sahaja memudahkan urusan penduduk, malah membolehkan agensi kerajaan memahami keperluan masyarakat secara lebih dekat.

Katanya, penyampaian perkhidmatan secara terus di lapangan penting bagi memastikan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, mudah dan berkesan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

“Program ini amat bermakna kerana penduduk dapat berurusan dan mendapatkan khidmat nasihat secara terus tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.

“Ia perlu dilaksanakan secara berterusan supaya perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih cepat, mudah dan berkesan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor berkata demikian ketika menghadiri Program Mobile Service 2U di Dewan Masyarakat Tulai, baru-baru ini.

Tambahnya, pendekatan turun padang turut membuka ruang interaksi secara langsung antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat, sekali gus membolehkan isu serta keperluan penduduk dikenal pasti dengan lebih tepat.

“Hubungan dua hala itu penting kerana masyarakat berpeluang mendapatkan penjelasan dan khidmat nasihat secara terus, manakala agensi berkaitan pula dapat memperoleh gambaran lebih jelas mengenai keperluan sebenar di lapangan.

“Maklum balas yang diterima secara langsung daripada penduduk juga boleh dijadikan panduan kepada pihak berkaitan untuk menilai bentuk perkhidmatan serta tindakan susulan yang diperlukan di sesuatu kawasan,” katanya.

Jelasnya, pendekatan membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat amat signifikan bagi kawasan luar bandar kerana faktor jarak boleh menjadi antara kekangan untuk penduduk mendapatkan perkhidmatan di lokasi tetap.

Justeru, beliau berharap Program Mobile Service 2U dan pendekatan seumpamanya dapat diteruskan bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati akses perkhidmatan kerajaan secara lebih menyeluruh, mudah dan berkesan.

Oleh Earl Anek