SIMANGGANG: Kebakaran belukar membabitkan kawasan seluas sekitar 0.2 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba di Jalan Kejatau, di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan media ysng dikeluarkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.55 petang, membabitkan kebakaran belukar yang turut melibatkan api gambut.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran berlaku di tepi jalan dan api sedang merebak ke kawasan belukar yang masih belum terbakar.

Komander Operasi, Edwin Jonani berkata, pasukan bomba lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan operasi pemadaman dengan membentangkan aliran hos sepanjang 200 kaki dan menggunakan dua nozel pam GP 10/10.
Katanya, sumber air terbuka dari parit berhampiran digunakan bagi membantu kerja-kerja pemadaman, selain pasukan turut membuat ‘fire break’ dengan membasahkan kawasan yang belum terbakar bagi menghalang api daripada terus merebak.
“Pasukan turut menggunakan teknik penggenangan menyeluruh (total flooding) bagi memastikan api benar-benar dipadamkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Operasi ditamatkan selepas keseluruhan kawasan terbakar berjaya dipadamkan, sebelum anggota mengemas peralatan dan kembali ke balai.
Secara keseluruhan, kira-kira 0.2 hektar kawasan terbakar dan keseluruhan kawasan berkenaan berjaya dipadamkan.
Bagaimanapun, pasukan berdepan kekangan sumber air terbuka yang terhad kerana hanya bergantung kepada parit berhampiran sebagai sumber air sepanjang operasi.
Oleh Adi Safarman





