Rekod suhu malam paling panas dicatat di Barat Daya AS

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

LOS ANGELES: Rekod suhu malam paling panas dilaporkan di beberapa kawasan di barat daya Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ketika amaran cuaca panas ekstrem masih berkuat kuasa di beberapa kawasan di California, Nevada dan Arizona, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS, lapor Xinhua.

Suhu di Death Valley, California, tidak turun di bawah 38.3 darjah Celsius pada Jumaat, sekali gus mengatasi rekod terdahulu bagi 21 Ogos iaitu 37.8 darjah Celsius yang dicatatkan pada 1919, menurut pejabat NWS Las Vegas.

Di Desert Rock-Mercury, Nevada, suhu terendah kekal pada 28.9 darjah Celsius, menyamai rekod bagi 21 Ogos yang dicatatkan pada 2018, menurut pejabat itu.

Perkhidmatan cuaca itu merujuk bacaan berkenaan sebagai rekod suhu minimum tertinggi, yang mengukur suhu terendah harian paling panas dan bukannya suhu tertinggi pada waktu petang.

Pejabat itu memaklumkan amaran berkenaan meliputi Taman Negara Death Valley, Lembah Las Vegas, Tasik Mead, Tasik Mohave dan Lower Colorado River Valley. Amaran itu berkuat kuasa sehingga Ahad malam.

Pejabat NWS San Diego memaklumkan suhu maksimum dan minimum melebihi purata akan berterusan hingga minggu depan.

Menurut pejabat itu, suhu malam yang luar biasa panas akan mengehadkan kelegaan daripada cuaca panas di beberapa kawasan. – Bernama