KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat secara maya daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon, pagi semalam.
Dalam perbincangan secara maya selama setengah jam tersebut, mereka telah berbincang mengenai perkara termasuk program vaksinasi di Sarawak, kerjasama antara Sarawak dan Singapura, perihal ekonomi, khusus pelan pasca Covid-19 dan isu semasa.
Kerajaan Sarawak dan Singapura telah menjalinkan kerjasama perdagangan dengan Singapura melalui pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura pada tahun 2019.
Ia merupakan inisiatif dan langkah untuk membuka pasaran produk dari Sarawak untuk dipasarkan di Singapura, terutamanya hasil pertanian dan mengembangkan potensi pelancongan negeri ini.