50 peratus sempadan Malaysia-Brunei selesai diukur, baki disasar siap 2034

Facebook
WhatsApp
SEMPADAN...Awang Tengah sewaktu ditemui media di lobi Hotel Seri Malaysia Lawas selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas hari ini.

LAWAS: Sebanyak 50 peratus sempadan Malaysia dan Brunei telah selesai diukur dan ditanda secara bersama, manakala baki sempadan yang belum diukur disasarkan untuk diselesaikan menjelang 2034.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk menentukan sempadan di sektor yang bertindih berdasarkan prinsip garisan legeh atau watershed, selain mengambil kira siasatan pendudukan sebenar di lapangan, fakta sejarah serta semangat kekeluargaan yang terjalin antara Malaysia dan Brunei.

“Walaupun terdapat sektor yang terlibat dengan pertindihan melibatkan jarak kira-kira enam kilometer, Kerajaan Malaysia dan Brunei telah bersetuju untuk melaksanakan penentuan sempadan berdasarkan prinsip garisan legeh atau watershed serta siasatan pendudukan sebenar di lapangan, fakta sejarah dan semangat kekeluargaan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Brunei.

“Saya penuh yakin perkara ini akan dapat dicapai berdasarkan kajian yang dibuat oleh kedua-dua pihak, di mana terdapat persamaan watershed di sebahagian besar jajaran yang bertindih tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Program LCDA Berambeh ke Lawas bertemakan ‘LCDA Bersama Komuniti’ sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas, hari ini.

Awang Tengah berkata, walaupun terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua pihak, perkara itu diyakini dapat diselesaikan menerusi semangat kebersamaan yang sedia terjalin demi manfaat kedua-dua negara, selain mengekalkan hubungan kerjasama yang baik.

Katanya, sektor yang terlibat dengan pertindihan itu juga telah dipersetujui oleh kedua-dua negara untuk diselesaikan kerja pengukurannya pada Mei 2027.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerja pengukuran di lapangan masih berjalan dengan baik antara kedua-dua negara berjiran.