PEMAIN Sarawak United FC (SUFC) bimbingan E Elavarasan begitu teruja sebaik sahaja memulakan sesi latihan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Shah Alam petang semalam.
SUFC akan bagi menghadapi Selangor 2 dalam saingan Liga Premier yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun ini.
Penolong Pengurus SUFC, Abang Suhordie Abang Zaini mengakui mereka kesuntukan masa untuk membentuk semula kombinasi para pemain.
Ia berikutan tempoh rehat sebulan selepas tamat perlawanan menentang Kelantan United FC pada 7 Mei lalu, ditambah pula rehat dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Setelah sebulan kita tidak berlatih di padang, memang ada memberi sedikit kesan untuk membentuk kombinasi para pemain.
“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan bagi kami terutama mengekal momentum pasukan,” ujarnya.
Abang Suhordie berkata ketika ini semua pemain telah pun berada di Semenanjung.
“Kita perlu mengikuti kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun latihan dibuat di sini.
“Saya rasa pemain tidak mempunyai masalah untuk mengembalikan kecergasan yang maksimum dengan persiapan latihan selama 10 hari sebelum menghadapi Selangor 2, 30 Jun nanti,” tegasnya.
Beliau berharap apabila pasukan telah mula menjalani latihan, prestasi dan kecergasan pemain dapat dipulihkan sepenuhnya selepas ini.
Terdahulu, baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) bakal kembali bersambung Julai depan.
Kempen Liga Premier 2021 bakal bermula pada 3 Julai manakala bagi saingan Liga Super 2021 pada 24 Julai depan.
Selain itu menurut Ab Ghani, tarikh baharu perlawanan juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dan Perak FC II menentang Kelantan FC disebabkan pemain-pemain Kelantan FC diarahkan untuk kuarantin selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat terdapat pemain mereka didapati positif Covid-19.
Kedua-dua perlawanan tertunda itu akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh pada 29 Jun 2021 manakala Selangor II menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021.
Oleh ADI SAFARMAN