KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan kes masalah kesihatan berkaitan kualiti udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan dalam negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan pemantauan antara minggu epidemiologi (ME) ke-32 dan ke-33, asma mencatatkan peningkatan sebanyak 259 peratus, jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) (124 peratus) manakala konjunktivitis pengurangan sebanyak tujuh peratus.
Beliau berkata berdasarkan tempoh sama, URTI mencatatkan jumlah terbanyak pada 3,674 kes peningkatan daripada 1,637, asma 219 kes berbanding 61 kes dan konjunktivitis 146 kes menurun daripada 157 kes.
“Setakat 8.00 pagi hari ini, tujuh kawasan yang menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Serian (197), Kuching (185), Sri Aman (178), Sarikei (128) dan Samarahan (176) kesemuanya di Sarawak.
“Kawasan lain ialah Sungai Petani, Kedah dan Taiping, Perak masing-masing pada tahap 126,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor dan Program Santuni Komuniti Minda Sejahtera (K-Mindset) di sini hari ini.
Mengenai penyakit berkaitan cuaca panas, Dzulkefly berkata sebanyak 90 kes direkodkan dengan majoritinya kelesuan haba pada 71 kes, diikuti strok haba (14 kes) dan kekejangan haba (lima kes).
“Berdasarkan statistik ME ke-30 hingga 32, jumlah kes dilaporkan masing-masing dua hingga tiga. Namun, statistik ME terbaru sehingga hari ini merekodkan sembilan kes terutama berkaitan strok haba,” katanya.
Beliau berkata sebanyak lapan daripada kes strok haba yang dilaporkan melibatkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor dengan hanya satu kes terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di wad.
“Keadaan bagaimanapun masih terkawal dengan pemantauan rapi pasukan petugas perubatan,” katanya.
Dzulkefly turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan keadaan semasa selain tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom.- Bernama





