COLOMBO: Wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sri Lanka berkata, kapal kontena yang karam selepas terbakar ketika mengangkut bahan kimia dari Colombo menyebabkan kerosakan serius apabila melepaskan bahan berbahaya ke dalam ekosistem.
X-Press Pearl yang didaftar di Singapura tenggelam Khamis lalu selepas sebulan selepas terbakar yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan bencana alam sekitar.
PBB berkata, pihaknya mengkoordinasi usaha antarabangsa dan membantu Sri Lanka dalam menilai kerosakan, usaha pemulihan dan mencegah bencana sama di masa depan.
“Darurat alam sekitar seperti ini menyebabkan kerosakan serius kepada planet dengan membebaskan bahan berbahaya ke dalam ekosistem.
“Ini mengancam nyawa dan kehidupan penduduk di kawasan pesisir,” kata Penyelaras Residen PBB di Sri Lanka, Hanaa Singer-Hamdy dalam satu kenyataan semalam.
Pasukan pakar tumpahan minyak dan kimia PBB yang disediakan oleh Kesatuan Eropah dihantar ke Sri Lanka.
Sri Lanka mengemukakan tuntutan ganti rugi sementara sebanyak AS$40 (RM166 juta) juta daripada X-Press Feeders bagi menampung sebahagian kos pemadaman kebakaran, yang meletus pada 20 Mei lalu ketika kapal itu berlabuh kira-kira 9.5 batu nautika (18 kilometer) di barat laut Colombo dan menunggu untuk memasuki pelabuhan.
Tentera laut Sri Lanka percaya kebakaran itu disebabkan oleh muatan kimia terdiri daripada 25 tan asid nitrat dan bahan kimia lain, yang kebanyakannya musnah dalam kebakaran. Bagaimanapun serpihan termasuk gentian kaca yang terbakar dan palet plastik mencemarkan pantai berdekatan.
Manifes kapal yang dilihat oleh The Associated Press menyatakan kapal itu membawa kurang daripada 1,500 kontena, dengan 81 daripadanya dinyatakan sebagai barang “berbahaya”.
Kebimbangan utama tertumpu kepada kira-kira 300 tan minyak yang digunakan sebagai bahan api kapal tetapi pegawai mengatakan ia mungkin terbakar dalam kebakaran.
Kedua-dua pihak berkuasa Sri Lanka dan pengendali kapal, X-Press Feeders berkata setakat ini tidak ada tanda-tanda tumpahan minyak.-AFP