Patriotisme perlu diteruskan dalam kehidupan seharian

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohammad Haffizie Putit (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Sarawak, Lucas Lau pada Majlis Penutupan Program Inspirasi Merdeka dan Hari Malaysia, baru-baru ini.

SIBU: Semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu diteruskan dalam kehidupan seharian, bukan hanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohammad Haffizie Putit berkata, kesejahteraan negara bukan sahaja bergantung kepada aspek pembangunan, malah turut merangkumi perpaduan, keharmonian, keselamatan dan kualiti hidup yang dapat dinikmati bersama.

Katanya, perkara itu selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mewujudkan kesejahteraan secara bersama.

“Dalam konteks masyarakat, kesejahteraan hanya dapat dicapai sekiranya kita saling menghormati, bekerjasama dan mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan serta keharmonian persekitaran kita.

“Selaras dengan slogan Dasar Keselamatan Negara, ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’, setiap daripada kita mempunyai peranan dalam memastikan negara terus aman dan selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Inspirasi Merdeka dan Hari Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mohammad Haffizie berkata, penglibatan masyarakat dalam program berkenaan membuktikan semangat patriotisme dapat disemarakkan menerusi aktiviti yang melibatkan komuniti secara langsung.

Menurutnya, program yang merangkumi Konvoi Merdeka bersama kelab-kelab skuter, pertandingan mewarna Merdeka, senaman aerobik dan pameran agensi merupakan pendekatan baik untuk mendekatkan sambutan Bulan Kebangsaan kepada masyarakat.

“Saya berharap semangat patriotisme yang ditunjukkan tidak berakhir apabila program ini selesai, sebaliknya diteruskan dalam kehidupan seharian melalui sikap prihatin, bertanggungjawab, saling menghormati dan menjaga keharmonian masyarakat.

“Sesungguhnya, kuatnya negara kerana perpaduan, kukuhnya keamanan kerana tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi; Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Sarawak, Lucas Lau dan Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu, Siti Nurfatimah Hussen.

Oleh Tarani Lanting