SIMANGGANG: Profesion perguruan merupakan satu profesion yang amat mulia kerana guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah berperanan penting membentuk sahsiah, membimbing serta mencorakkan masa depan generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, tanpa jasa dan pengorbanan guru, tidak mungkin masyarakat hari ini dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan.
“Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar, malah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, membimbing dan mencorakkan masa depan generasi akan datang. Tanpa guru, tiadalah kita di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persaraan Warga SK Temudok Kem Tahun 2026 bertemakan ‘Golden Legacy Night – Jasamu Dikenang’, di sini malam Khamis.
Mong turut merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga sekolah yang diraikan atas segala jasa, pengorbanan serta bakti yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan warga pendidik dan warga sekolah yang telah menamatkan perkhidmatan selepas sekian lama menabur bakti, tenaga dan khidmat dalam dunia pendidikan.
Dalam pada itu, Mong Dagang menegaskan kerjasama erat antara pihak sekolah dengan wakil rakyat setempat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap keperluan dan permasalahan sekolah dapat dikenal pasti.
Menurut beliau, hubungan baik berkenaan turut membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih mudah, cepat dan berkesan demi kepentingan warga sekolah serta para pelajar.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Temudok Kem bagi membantu pelaksanaan aktiviti tahunan pihak sekolah.
Beliau berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menyokong pelbagai program yang memberi manfaat kepada para pelajar serta seluruh warga SK Temudok Kem.
Antara yang diraikan ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Temudok Kem, Hamidiah Jaafar; Guru Akademik Biasa, Caroline Sating dan Plane Apak; serta Pegawai Tadbir SK Temudok Kem, Mula Ayom.
Oleh Adi Safarman



