SDO wira tidak didendang, jadi tulang belakang ping pong Sarawak

Facebook
WhatsApp
JACKY Sia ketika ditemui Utusan Sarawak selepas perlawanan penentuan pingat gangsa di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang(MBDK) Bandar Bukit Raja, di Klang, hari ini.

KLANG: Di sebalik kejayaan skuad ping pong Sarawak melakar kejayaan pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, ada insan yang jarang mendapat perhatian tetapi memainkan peranan besar memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga.

Individu berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) untuk sukan Ping Pong, Eqa Eqma Bujang Adris, yang menurut Presiden Persatuan Ping Pong Sarawak, Jacky Sia menjadi antara tulang belakang kepada persiapan dan kebajikan atlet sepanjang temasya kali ini.

Menurut Jacky, peranan Eqa amat penting terutama ketika kebanyakan atlet Sarawak yang berusia antara 15 hingga 16 tahun perlu menjalani latihan berpusat di Kuching, jauh daripada keluarga masing-masing.

Katanya, Eqa bukan sahaja membantu dari segi urusan latihan, malah turut memastikan kebajikan atlet terjaga termasuk ketika mereka keletihan atau kurang sihat.

“Saya sangat berterima kasih dengan SDO kami, Cik Eqa. Dia banyak membantu dan datang ke venue untuk memberi semangat kepada semua atlet.

“Saya dari Sibu dan apabila latihan berpusat di Kuching, semua perkara seperti makanan, atlet penat atau demam, SDO yang membantu,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas perlawanan penentuan pingat gangsa di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang(MBDK) Bandar Bukit Raja, di Klang, hari ini. 

Menurutnya, sokongan berkenaan membolehkan pasukan ping pong Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap saingan, sekali gus membantu mereka memperlihatkan peningkatan ketara berbanding penampilan pada Sukma lalu.

Malah, beliau menyifatkan kejayaan beregu lelaki Jason Wong Shung Wei dan Lee Hong An meraih gangsa sebagai satu pencapaian besar selepas kedua-duanya membuat penampilan pertama pada temasya berkenaan.

Sarawak menewaskan Selangor 3-1 dalam penentuan pingat gangsa selepas ditewaskan oleh satu lagi beregu Selangor 1-3 pada separuh akhir.

Lebih manis, usaha pasukan itu turut menyaksikan gandingan beregu campuran Joanne Chen Yu Xi dan Cody Ting Shi Hao mara ke final selepas menewaskan wakil Pulau Pinang 3-1 pada separuh akhir.

Gandingan Sarawak itu bangkit selepas tewas pada set kedua sebelum menguasai dua set berikutnya untuk melengkapkan kemenangan 12-10, 7-11, 11-8 dan 11-7.

Mereka akan berdepan Selangor pada final yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Presiden berkenaan berkata, pencapaian itu membuktikan sokongan menyeluruh kepada atlet, termasuk aspek kebajikan dan pembangunan, amat penting dalam membentuk pasukan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Katanya, kejayaan tersebut bukan hasil usaha atlet semata-mata, sebaliknya turut melibatkan jurulatih, pegawai, ibu bapa serta agensi yang sentiasa memastikan keperluan pasukan dipenuhi.

“Tiada kejayaan yang jatuh dari langit. Kita mesti berusaha. Saya bangga dengan atlet kerana sanggup berkorban dan terima kasih kepada ibu bapa yang menyokong mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak atas sokongan terhadap program latihan berpusat pasukan ping pong Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat