Sarawak gesa isu jerebu rentas sempadan dibangkitkan semula di ASEAN

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui media berhubung situasi jerebu di Sarawak, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengarahkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya isu jerebu rentas sempadan dibangkitkan semula di peringkat ASEAN.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu susulan jumlah titik panas yang tinggi di Kalimantan dengan 7,585 titik panas direkodkan sepanjang Ogos ini berbanding 259 di Sarawak.

“Kita hari ini mengarahkan NREB berhubung dengan JAS supaya perkara ini disampaikan kepada menteri di Kuala Lumpur untuk dibangkitkan semula dalam Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN bagi mencari jalan menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, mekanisme di peringkat ASEAN membolehkan negara anggota berbincang dan bekerjasama dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Dalam pada itu, Uggah meminta orang ramai hanya merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi NREB dan JAS susulan terdapat bacaan daripada sumber lain yang berbeza sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Ada yang menuduh kita merendahkan angka sebenar. Kita tidak berbuat demikian dan tidak pernah mempermainkan nyawa rakyat Sarawak.

“Sebab itu semalam apabila bacaan mencapai 200, sekolah terus ditutup,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai memakai pelitup hidung dan mulut dan mengurangkan aktiviti fizikal berlebihan di luar ketika kualiti udara tidak sihat.

Mengenai masalah bekalan air akibat musim panas dan kering, Uggah berkata, tindakan terhadap aduan kekurangan bekalan air perlu dibuat dalam tempoh 12 jam, yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).

Katanya, aduan boleh dibuat terus kepada Residen atau Pegawai Daerah tanpa perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

Sementara itu, kerajaan negeri terus berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung Operasi Pembenihan Awan (OPA), namun pelaksanaannya bergantung kepada kewujudan awan dan keadaan cuaca yang sesuai.

Oleh Norman B