Cincin tersangkut di jari, Bomba Sri Aman tampil beri bantuan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba membantu menanggalkan cincin yang tersangkut pada jari manis tangan kiri mangsa di Wad Bersalin, Hospital Sri Aman II, semalam. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Keadaan seorang pesakit wanita yang berdepan kesukaran apabila cincin tersangkut pada jari manis tangan kirinya mendapat perhatian apabila anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan untuk membantu mengeluarkannya, semalam.

Menurut kenyataan BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian khidmat khas memotong cincin pada 9.51 pagi.

Susulan itu, sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tiga anggota digerakkan ke Wad Bersalin, Hospital Sri Aman II bagi menjalankan operasi berkenaan.

Komander Operasi, Edwin Jonani, mengetuai pasukan bomba yang tiba di lokasi untuk mendapatkan maklumat dan menilai keadaan pesakit.

Setibanya di tempat kejadian, pasukan operasi mendapati benar seorang pesakit wanita mengalami masalah apabila cincin yang dipakainya tersangkut pada jari manis tangan sebelah kiri dan sukar untuk dikeluarkan.

Bagi memastikan proses dilakukan dengan selamat, anggota operasi lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tindakan memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.

Hasil tindakan pantas dan berhati-hati anggota bomba, cincin tersebut berjaya dipotong dan dikeluarkan sepenuhnya daripada jari pesakit tanpa sebarang masalah dilaporkan.

Operasi turut melibatkan kerjasama dua anggota Kementerian Kesihatan (KKM), manakala tiada pegawai kanan hadir di lokasi. 

Kejayaan tindakan itu sekali lagi membuktikan peranan bomba bukan sahaja tertumpu kepada operasi kebakaran dan menyelamat, malah turut membantu orang awam dalam situasi khidmat khas yang memerlukan tindakan segera.

Oleh Adi Safarman