Hubungan Telok Melano, Tioman tidak mustahil direalisasikan – Azizul

Facebook
WhatsApp
AZIZUL Annuar Adenan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Lundu, hari ini.

TELOK MELANO: Hasrat menghubungkan Telok Melano, Sarawak dengan Pulau Tioman, Pahang berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan pesisir di kawasan Sematan dan Tanjung Datu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan.

Beliau berkata, cadangan yang dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan, khususnya jika diwujudkan jaringan perhubungan udara atau laut pada masa hadapan.

“Saya rasa baginda memasukkan di dalam titah baginda adalah persaudaraan antara Sarawak dan Pahang itu amatlah dekat sekali.

“Tidak mustahil sekiranya satu link ataupun perhubungan sama ada feri ataupun udara dapat kita realisasikan pada masa-masa akan datang,” katanya.

AZIZUL Annuar Adenan turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta tetamu kehormat lain di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Telok Melano, Lundu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan menghidupkan semula konsep Feri Malaysia bagi menghubungkan kedua-dua kawasan itu, Azizul berkata ia lebih sesuai dipertimbangkan sebagai perjalanan pelancongan eksklusif berbanding perkhidmatan ulang-alik harian.

Menurutnya, jarak sekitar 600 kilometer antara Telok Melano dan Pulau Tioman serta kelajuan feri yang lazimnya sekitar 10 hingga 15 knot boleh menyebabkan tempoh perjalanan menjadi panjang, selain keadaan laut yang tidak menentu.

“Pada pandangan saya, ia lebih sesuai dijadikan sebagai satu perjalanan pelancongan khas, bukannya perkhidmatan ulang-alik,” katanya.

“Sebab kita tahu jarak 600 kilometer itu sangatlah jauh sekiranya menggunakan sebuah feri yang hanya berkelajuan 10 knot, 15 knot memang memakan masa dan keadaan laut yang tidak stabil sememangnya menyukarkan lagi perjalanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perancangan membangunkan kemudahan pelabuhan atau jeti berskala lebih besar di kawasan Sematan dan Tanjung Datu sememangnya pernah dirangka sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan itu berpotensi memberi perkhidmatan kepada kapal persiaran dan seterusnya membuka ruang baharu kepada pembangunan industri pelancongan pesisir.

“Sememangnya, kita pernah merancang untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan Sematan dan Tanjung Datu ini, termasuk membina pelabuhan atau jeti yang lebih panjang bagi menampung kapal persiaran dan sebagainya,” katanya.

Menurut Azizul, pembangunan berkenaan selari dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain membuka peluang kepada pelaburan sektor swasta dalam pembangunan destinasi pelancongan di kawasan itu.

Beliau berkata Sematan dan Telok Melano dijangka terus berkembang dengan penambahan beberapa buah resort, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan baharu di selatan Sarawak.

Katanya, perkembangan itu sudah mula kelihatan dengan sebuah pusat peranginan di Kampung Telok Serabang, yang terletak di seberang Telok Melano, kini dalam proses pembinaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizul berkata acara Rimba & Run yang dijadualkan berlangsung pada 6 September ini turut dijangka menjadi antara platform memperkenalkan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

Beliau berkata acara itu dijangka dilancarkan Premier Sarawak dan turut disertai upacara pecah tanah bagi sebuah lagi projek pusat peranginan di kawasan Sematan.

Dalam pada itu, Azizul menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah atas keberangkatan baginda merasmikan masjid yang dicetuskan ketika Kembara Kenali Borneo pada 2023.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut menerima sumbangan sebanyak RM3.8 juta daripada Al-Sultan Abdullah ketika baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membantu menampung kos tambahan pembinaan masjid berkenaan.

“Alhamdulillah, syukur masjid ini telah siap mengikut masa yang ditetapkan dan kita amat bersukacita dengan keberangkatan Tuanku Sultan ke sini,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi