KUCHING: Pemandangan tidak menyenangkan muncul di kawasan Komersial Lee Ling Heights, di sini apabila penduduk yang tinggal di tingkat atas beberapa rumah kedai didakwa membawa sampah domestik mereka turun dan membuangnya di kawasan kosong di tingkat bawah sebelum pergi bekerja.
Ketika berada di lokasi hari ini, Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Gerald Goh bersama kakitangan MPP berkata, selain mencacatkan pemandangan, keadaan itu mencerminkan isu sosial yang lebih mendalam dan sememangnya menimbulkan rasa kecewa serta kebimbangan dalam kalangan pemilik premis di kawasan berkenaan.
Hasil temu bual dengan salah seorang pengadu mendapati, kebanyakan penghuni premis terbabit dipercayai merupakan pekerja dari luar Kuching yang menyewa bilik di tingkat atas.

Menurut pengadu, kerja-kerja pembersihan telah dilakukan beberapa kali, namun usaha itu tidak mendatangkan hasil apabila perbuatan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab terus berlaku.
Goh kemudiannya mengadakan lawatan tapak bersama pegawai MPP dan meminta supaya aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Awam MPP.
Beliau turut meminta pemilik premis mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kawasan berkenaan dan memudahkan tindakan lanjut terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Pemilik premis yang menyewakan bilik juga diminta mengingatkan penyewa mengenai tanggungjawab mereka untuk membuang sampah dengan betul serta tidak melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini.
“Menjaga kebersihan kawasan kejiranan bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Ia memerlukan semua pihak termasuk penduduk, penyewa, pemilik premis dan komuniti memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Goh berkata, dalam era ini, masyarakat tidak seharusnya masih mengamalkan sikap yang sinonim dengan negara dunia ketiga kerana persekitaran yang bersih bermula daripada kesedaran sivik dan amalan bertanggungjawab.
Oleh Connie Chieng





