Masyarakat luar bandar Sarawak perlu beralih kepada pertanian komersial – Rundi

Facebook
WhatsApp
MENTERI Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom

MUKAH: Masyarakat luar bandar Sarawak perlu beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial bagi meningkatkan pendapatan dan menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata perubahan itu penting bagi menyokong sasaran kerajaan negeri mencapai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan menjelang 2030.

“Jangan hanya memikirkan sara diri lagi. Kita harus mengkomersialkan apa yang kita lakukan. Setiap titik peluh mesti diterjemahkan kepada ringgit dan sen,” katanya ketika merasmikan Agrofest Dalat 2026 di Dalat di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun Sarawak diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia sejak 2022, manfaat kemajuan ekonomi perlu turut dirasai masyarakat luar bandar, khususnya golongan B40.

Rundi berkata transformasi sektor pertanian memerlukan perubahan minda, mekanisasi dan penggunaan teknologi seperti pertanian pintar, pertanian tepat serta Internet benda (IoT), yang mampu menarik penyertaan golongan muda.

Beliau berkata penekanan kini bukan kepada keluasan tanah semata-mata tetapi produktiviti, kualiti hasil, pasaran dan pulangan mampan, termasuk menerusi pertanian berkelompok serta kerjasama awam-swasta-komuniti.

Dalam aspek keterjaminan makanan, beliau berkata kadar sara diri (SSL) beras Sarawak ketika ini kira-kira 21 peratus, dengan 14,000 hektar tanah dikenal pasti berpotensi untuk penanaman padi.

Dalam pada itu, Rundi berkata Dalat juga berpotensi dalam pengeluaran sagu, padi, nanas dan kelapa, selain agropelancongan, justeru perancangan sektor itu perlu berasaskan data serta rantaian bekalan lengkap daripada pengeluaran hingga pemasaran. – Bernama