Lelaki miliki syabu ditahan dalam Operasi Bersepadu di Jelukong

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia awal 30-an ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, petang semalam.

Suspek ditahan pasukan Petugas Khas IPD Lubok Antu di kawasan pusingan P, Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Jelukong, Engkilili.

Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu, manakala ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki berkenaan positif Methamphetamine dan Amphetamine.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan kekuatan 19 anggota daripada pelbagai cawangan.

Selain tangkapan berkaitan dadah, operasi turut menyaksikan polis memeriksa 122 kenderaan dan 135 individu menerusi sekatan jalan raya yang dijalankan.

Sebanyak 20 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi tersebut.

IPD Lubok Antu menegaskan komitmennya untuk melaksanakan operasi secara berterusan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan sentiasa terjamin.

Oleh Adi Safarman