Mia mengganas depan PM, Sarawak hantar tiga wakil Muay Thai ke separuh akhir

Facebook
WhatsApp
EMYLIA Lynn Ghazali Zulfikar meraikan kemenangan selepas menewaskan Nur Dhea Salsabila dari Perlis 36-13 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Muay Thai Sukma XXII Selangor 2026. Turut kelihatan, Perdanan Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

SELANGOR: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi saksi kepada aksi bertenaga bintang muda Muay Thai Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar, yang mara ke separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di KSL Esplanade Mall, hari ini.

Lebih dikenali sebagai Mia, Emylia menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Perlis, Nur Dhea Salsabila, dengan kiraan 36-13 dalam pertarungan tiga pusingan kategori wanita 42 hingga 45 kilogram.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Mia meneruskan pemburuan pingat pada temasya kali ini, di hadapan Anwar yang turut menyaksikan pertarungannya bersama Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Mia tampil agresif sejak awal pertarungan apabila berjaya mengawal rentak perlawanan sebelum mengekalkan kelebihan sehingga tamat tiga pusingan untuk mengesahkan kemenangan.

Kejayaan tersebut menyaksikan Sarawak turut menempatkan dua lagi wakil ke separuh akhir menerusi Hani Anissa Ismail dalam kategori wanita 54 hingga 57 kilogram dan Razie Rafizzie Razali bagi kategori lelaki 51 hingga 54 kilogram.

Bagaimanapun, empat lagi wakil Sarawak gagal meneruskan kemaraan selepas tersingkir pada peringkat pusingan 16 dan suku akhir.

DATUK Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan pertarungan Muay Thai di KSL Esplanade Mall, hari ini.

Dengan tiga wakil kini berada di peringkat separuh akhir, skuad Muay Thai Sarawak terus mengintai peluang untuk menambah koleksi pingat buat kontinjen Bumi Kenyalang pada Sukma XXII Selangor 2026.

Oleh Shahrul Qaizat