Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik ke suku akhir selepas Wei Chong-Kai Wun tarik diri

Facebook
WhatsApp
BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke kelompok lapan terbaik Kejohanan Dunia 2026 tanpa perlu beraksi pada pusingan 16. Foto BAM

KUALA LUMPUR: Pertembungan sesama pemain Malaysia pada Kejohanan Dunia 2026 hari ini tidak berlaku, apabila beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir tanpa perlu mengeluarkan peluh, selepas menerima kemenangan percuma pada pusingan 16.

Pasangan pilihan keempat kejohanan itu, diberikan kemenangan selepas rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun, menarik diri daripada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi di New Delhi.

MAN Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri daripada aksi pusingan 16. Foto BAM

“Pasangan nombor empat dunia, Aaron-Wooi Yik mara ke kelompok lapan terakhir selepas menerima kemenangan percuma, berikutan penarikan diri Kai Wun akibat masalah kesihatan,” menurut hantaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di laman Facebook mereka, malam ini.

Pada suku akhir, Aaron-Wooi Yik akan menentang pemenang perlawanan antara pasangan China Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark. – Bernama