KUCHING: Polis membuka siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai memijak bendera Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya menerima dua laporan pada hari ini berhubung video berdurasi lima saat itu.
Menurutnya, video berkenaan pada awalnya dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok sebelum dikongsikan semula oleh beberapa akaun media sosial lain.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Alexson menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444,” katanya.
Oleh Connie Chieng




