SIBU: Persatuan Foochow Sibu bakal menerbitkan buku bertajuk ‘Foochow Children of the Rajang River’ bagi membawa semangat perintis masyarakat Foochow terdahulu ke peringkat antarabangsa.
Menurut pengerusinya, Penghulu Lau Hieng Wuong, buku dwibahasa itu mendokumentasikan kisah 127 tokoh Foochow terkemuka yang lahir di Sungai Rajang, sempena ulang tahun ke-127 Penempatan Foochow Baharu sejak 1901.
Katanya, projek budaya merentas generasi itu menggunakan pendekatan sejarah lisan bagi merekodkan kehidupan dan pengalaman individu yang dilahirkan di Lembangan Sungai Rajang, berlandaskan sejarah perintis Foochow terdahulu.
“Matlamatnya adalah untuk merentasi batas bahasa dan membawa semangat perintis Foochow ke persada antarabangsa, dengan penerbitan buku disasarkan siap sebelum sambutan ulang tahun ke-127 pada 16 Mac 2028,” ujarnya pada sidang media hari ini.
Mengimbas kembali sejarah, Lau berkata, peneroka Foochow berdepan cabaran besar untuk menebus guna dan membangunkan tanah selepas lebih 900 pendatang Foochow tiba di Sarawak susulan pelawaan Rajah Charles Brooke.
Pada 1901, Reverend James Hoover mengetuai tiga kumpulan pendatang dari Selatan China yang menempuh pelbagai kesukaran sebelum membuka penempatan ‘Foochow Baharu’, dengan kumpulan kedua tiba pada 16 Mac 1901.
Beliau memberitahu, tarikh itu kemudiannya dikenali dalam kalangan masyarakat Foochow di Sarawak sebagai ‘Hari Memperingati Penempatan Foochow’ yang mempunyai nilai sejarah penting.
“Lebih satu abad kemudian, masyarakat Foochow telah berkembang maju di kedua-dua tebing Sungai Rajang.
“Bermula dengan penanaman getah dan lada, masyarakat Foochow berkembang ke pelbagai sektor termasuk perindustrian, perdagangan, kewangan, pembalakan, pembinaan, pendidikan, perubatan, kebajikan, kebudayaan, seni, sukan dan kerja kemasyarakatan.
“Jejak masyarakat Foochow turut berkembang ke seluruh Sarawak, Malaysia, Singapura dan luar negara,” katanya.
Mengenai penerbitan buku itu, Lau berkata, terdapat banyak rekod sejarah, biografi, penerbitan peringatan dan laporan media berkaitan peneroka Foochow terdahulu.
“Bagaimanapun, kisah kehidupan masyarakat Foochow masa kini di Lembangan Sungai Rajang masih tersebar mengikut bandar, bidang pekerjaan dan keluarga.
“Proses mengumpul dan mengesahkan rekod sejarah bersama keluarga memerlukan masa dan usaha profesional.
“Oleh itu, pasukan penyelidik pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada temu bual dengan 70 individu yang dilahirkan di Lembangan Sungai Rajang,” ujarnya lagi.
Bagi mentakrifkan Lembangan Sungai Rajang, Lau berkata, ia merangkumi individu yang dilahirkan di Sibu, Kanowit, Sarikei, Julau, Pakan, Meradong, Daro, Matu, Dalat, Belaga, Kapit dan kawasan sekitarnya.
“Walaupun mereka kemudiannya meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran, berpindah ke tempat lain, menetap di Semenanjung Malaysia atau tinggal di luar negara, mereka masih boleh disenaraikan sekiranya dilahirkan di kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Menurut format yang dicadangkan, Lau berkata, setiap biografi dalam bahasa Cina akan mengandungi kira-kira 1,500 hingga 2,000 aksara, disertakan dua hingga empat keping gambar.
Bagi membawa sejarah tempatan ke peringkat antarabangsa, edisi bahasa Cina dan Inggeris akan melalui proses penyuntingan, penterjemahan, penyemakan pruf dan penyusunan atur secara profesional.
Katanya, semua rakaman temu bual, gambar dan manuskrip akhir akan diarkibkan sebagai aset budaya persatuan untuk kegunaan pameran, dokumentari dan penyelidikan akademik pada masa hadapan.
Profesor Madya Dr Chen Tsung Yuan dari Jabatan Sejarah, Universiti Tamkang, Taiwan akan berkhidmat sebagai ketua editor.
“Pasukan penyelidik telah menyediakan senarai awal hampir 100 calon untuk ditemu bual dan akan terus menghubungi individu terbabit atau keluarga mereka bagi mendapatkan persetujuan,” katanya.
Oleh Akun Giman





