Maritim, JPLS perkukuh penguatkuasaan perikanan di perairan Sarawak

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Maritim Malaysia Zon Tanjung Manis dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) menjalankan pemeriksaan terhadap aktiviti perikanan sepanjang Operasi Bersepadu MARDOF Tanjung Manis 1/2026 di perairan Sarawak, baru-baru ini.

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Manis bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) memperkukuh penguatkuasaan aktiviti perikanan di perairan Sarawak menerusi Operasi Bersepadu MARDOF Tanjung Manis 1/2026.

Operasi selama empat hari dari 15 hingga 18 Ogos lalu itu meliputi perairan Muara Lassa, Muara Paloh, Muara Rajang hingga perairan Sarikei dengan penglibatan dua aset Maritim Malaysia dan satu aset JPLS.

Pengarah Maritim Zon Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, operasi bersepadu itu penting bagi memastikan aktiviti perikanan di perairan Sarawak mematuhi peruntukan undang-undang ditetapkan.

Katanya, kerjasama berkenaan turut membolehkan kedua-dua agensi menyelaras tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan selain berkongsi kepakaran dan maklumat berkaitan aktiviti perikanan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan aktiviti perikanan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sepanjang operasi, sebanyak 24 pemeriksaan dilaksanakan dengan satu amaran lisan dikeluarkan, manakala sebuah pukat keroncong disita.

Bagaimanapun, tiada kompaun atau tangkapan direkodkan sepanjang operasi berkenaan.

Operasi yang memberi penekanan terhadap pematuhan Akta Perikanan 1985 itu turut bertujuan memperkukuh koordinasi, perkongsian pengalaman dan kepakaran antara kedua-dua agensi dalam penguatkuasaan perikanan.

Mahkos berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti perikanan di perairan Sarawak dilaksanakan mengikut undang-undang.

Usaha itu katanya, penting dalam melindungi sumber perikanan selain memastikan kelestarian ekosistem marin negara terus terpelihara.

Oleh Afiq Sallehi