Terkini: Jerebu semakin teruk, sekolah enam daerah ditutup serta-merta – JPNS 

Facebook
WhatsApp
HEBAHAN JPNS.

KUCHING: Sekolah-sekolah di enam daerah di Sarawak diarahkan tutup berkuat kuasa serta-merta hari ini dan esok berikutan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam hebahan segera pada 1.45 petang memaklumkan penutupan itu membabitkan sekolah di bawah seliaannya di Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian dan Samarahan.

Menurut JPN Sarawak, sekolah terbabit ditutup pada 20 dan 21 Ogos 2026 sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah.

Keputusan itu dibuat khususnya bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada keadaan udara yang tidak sihat akibat jerebu.

Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

JPN Sarawak berkata, sebarang perkembangan lanjut berkaitan tempoh penutupan dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Penutupan itu susulan keadaan kualiti udara di beberapa kawasan Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Setakat 12.00 tengah hari tadi, IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 191, diikuti Lubok Antu (189), Kuching (188), Sri Aman (178), Lundu (178), Samarahan (171), Tebedu (164), Sarikei (153) dan Sibu (125).

Oleh Afiq Sallehi