KUCHING: Kualiti udara di Sarawak semakin membimbangkan apabila sembilan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan rekod IPU pada Khamis, Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 191, diikuti Lubok Antu (189), Kuching (188), Sri Aman (178), Lundu (178), Samarahan (171), Tebedu (164), Sarikei (153) dan Sibu (125).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai masalah atau komplikasi jantung dan paru-paru.
Sementara itu, sembilan kawasan lain masih merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana dengan bacaan antara 51 hingga 100.
Kawasan berkenaan ialah Bintulu (98), Samalaju (96), Miri (90), ILP Miri (87), Mukah (86), Lawas (85), Kapit (70), Limbang (64) dan Bario (62).
Tiada kawasan di Sarawak merekodkan bacaan pada tahap baik (0 hingga 50), sangat tidak sihat (201 hingga 300) atau berbahaya (melebihi 300) pada jam berkenaan.
Dalam keadaan kualiti udara tidak sihat, orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi, disaran mengehadkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan.
Perkembangan kualiti udara dijangka terus diberi perhatian berikutan bacaan di beberapa kawasan utama, khususnya di bahagian selatan Sarawak, kini menghampiri paras 200.
Oleh Afiq Sallehi




