KOTA SAMARAHAN: Karnival Perpaduan Stakan 2026 bakal berlangsung selama lima hari dari 26 hingga 30 Ogos ini di Taman Komersial UniCentral dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan perpaduan, patriotisme, kebudayaan dan kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali berkata, karnival itu bertujuan memperkukuh hubungan masyarakat selain menyediakan ruang kepada pelbagai lapisan komuniti untuk berinteraksi menerusi aktiviti yang disediakan.
“Karnival ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan keharmonian, di samping menyediakan ruang kepada masyarakat untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, riadah, kebudayaan, kelestarian alam sekitar dan patriotisme,” katanya pada sidang media, hari ini.

Antara aktiviti utama ialah Stakan Idol, Bola Sepak Jalanan, memanah tradisional, pertandingan OKU Patriotik, pertunjukan fesyen barangan terpakai serta pertandingan berunsurkan patriotisme.
Program 3R dan Kempen Beli Balik turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar, selain demonstrasi anjing K9 serta pameran melibatkan tujuh agensi dan organisasi.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan penyertaan 60 vendor makanan dan minuman, persembahan buskers, glamping serta pelbagai aktiviti santai.

Kemuncak program pada 30 Ogos ialah Larian Malam Hari Kebangsaan dan Ambang Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Dalam pada itu, Abang Ismawi mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap hantaran di Facebook yang mendakwa pendaftaran Larian Malam Hari Kebangsaan berkenaan adalah percuma.
Beliau menegaskan hantaran terbabit adalah palsu dan mempunyai unsur penipuan, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya serta hanya mendapatkan maklumat berkaitan pendaftaran menerusi saluran rasmi.
Majlis penutupan Karnival Perpaduan Stakan 2026 pada 30 Ogos dijadual dirasmikan ADUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Oleh Norman B




