SIMANGGANG: Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Sepatak Undop, sejak pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman pada 9.06 malam ini bagi mendapatkan bantuan mengesan mangsa, yang dikenali sebagai Csee Kim Shin.
Susulan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
Jentera bomba tiba di lokasi pada 9.16 malam dengan diketuai PBK I Fadhli Buyong selaku Komander Operasi.
Menurut maklumat awal, anak mangsa pulang ke rumah kira-kira 8.00 pagi dan mendapati bapanya tiada di rumah.
Anak mangsa kemudian berusaha mencari di kawasan sekitar rumah, namun tidak menemui sebarang tanda keberadaan mangsa.
Usaha pencarian diteruskan sehingga petang sebelum laporan polis dibuat kerana bimbang akan keselamatan serta keberadaan warga emas berkenaan.
Operasi mencari dan mengesan mangsa turut disertai anggota Polis Sri Aman, manakala lokasi sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan.
JBPM Sarawak memaklumkan maklumat lanjut mengenai operasi berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Oleh Adi Safarman





