KUCHING: Seramai 90 pelajar Politeknik Negeri Pontianak (POLNEP), Indonesia berpeluang melihat lebih dekat pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menerusi lawatan teknikal ke beberapa tapak projek berkenaan baru-baru ini.
Lawatan yang turut disertai empat tenaga akademik Jabatan Kejuruteraan Awam POLNEP itu dianjurkan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Sepanjang lawatan, rombongan dibawa meninjau tapak depoh Transit Aliran Autonomi (ART) di Rembus, Kota Samarahan, Stesen ART di The NorthBank serta kemudahan konkrit pratuang yang dikendalikan kontraktor Sarawak Metro.
Lawatan teknikal dan pendidikan itu merupakan sebahagian daripada program pertukaran akademik serta pembelajaran berasaskan pengalaman, sekali gus memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai pembangunan sistem pengangkutan awam moden di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa berkata, lawatan berkenaan memberi peluang kepada pelajar memahami aspek perancangan, reka bentuk, pembinaan, kaedah pelaksanaan, pengurusan projek serta inovasi kejuruteraan yang diterapkan dalam KUTS.
Menurutnya, minat yang ditunjukkan institusi pengajian tinggi dari luar Sarawak terhadap projek itu turut memberi inspirasi kepada pasukan Sarawak Metro.
“Selama ini, kami telah menerima kunjungan daripada beberapa institusi pengajian tinggi ke tapak projek dan minat yang ditunjukkan terhadap apa yang kami laksanakan menerusi KUTS sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada kami di Sarawak Metro.
“Pada masa sama, kami berharap pengalaman melihat sendiri pelaksanaan projek sebesar dan seluas ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus memperkembangkan ilmu dalam bidang masing-masing,” katanya.
Mengulas lawatan pelajar dari Pontianak itu, Mazli berkata, Sarawak Metro berbesar hati dapat berkongsi perjalanan Sarawak dalam mentransformasikan sektor pengangkutan awam.
“Kami berharap bakal jurutera ini mendapat inspirasi daripada usaha kejuruteraan yang sedang dilaksanakan di Sarawak dan seterusnya mampu membawa perubahan kepada komuniti, pekan serta bandar mereka sendiri pada masa hadapan,” katanya.




