JAKARTA: Indonesia akan membenarkan semula aktiviti pelancongan di kawasan Gunung Bromo, Jawa Timur beroperasi selepas kebakaran hutan dan tanah berjaya dipadamkan sepenuhnya susulan operasi pemadaman selama 13 hari, menurut Pejabat Taman Negara Bromo Tengger Semeru, lapor Xinhua.
‘’Pembukaan semula dibuat selepas pemantauan dan penilaian keadaan kawasan berkenaan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengunjung serta kakitangan’’, kata ketua pejabat taman negara itu, Rudijanta Tjahja Nugraha.
Tempahan tiket secara dalam talian dibuka semula hari ini menerusi laman sesawang rasmi taman negara berkenaan dengan jumlah pengunjung dihadkan kepada 2,752 individu sehari.
Rudijanta berkata pengunjung wajib mematuhi arahan kakitangan taman negara dan dilarang melakukan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, termasuk menyalakan unggun api serta membuang puntung rokok atau bahan mudah terbakar.
Pejabat taman negara itu turut menggesa pengunjung agar segera melaporkan jika ternampak asap, bara api atau tanda kebakaran lain kepada kakitangan bagi membantu mencegah kejadian kebakaran daripada berulang. – Bernama





