MUKAH: Penerbangan MH3552 pada Rabu(16 Mei) merupakan penerbangan terakhir dari Lapangan Terbang Lama Mukah yang juga dikenali sebagai Mukah Stolport.
Destinasi pesawat yang membawa 15 penumpang termasuk mereka yang `transit’ dari Kuching itu ialah ke Bandar Raya Miri.
Sejarah tersendiri itu turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo yang tiba di sana kira-kira setengah jam sebelum ia berlepas pada 1.15 petang.
Justeru , peristiwa mengamit kenangan berkenaan juga dengan sendirinya mengakhiri penantian penduduk tempatan yang ingin menyaksikan Lapangan Terbang Baharu Mukah beroperasi menjadi kenyataan.
Lapangan Terbang Baharu beroperasi hari ini dan staf-staf lapangan terbang kelihatan terus memindahkan beberapa peralatan dari situ sejurus selepas berlepasnya penerbangan terakhir berkenaan.
Oleh demikian, wakil rakyat ini yang ditemui media menyatakan beliau merasa gembira berbaur sedikit kesedihan mengenangkan lapangan terbang yang telah banyak berjasa itu.
“Sebenarnya saya merasa bercampur…sedih sedikit kerana ini adalah operasi terakhir untuk lapangan terbang ini, dan pada masa sama sangat gembira kerana lapangan terbang baharu akan mula beroperasi esok (hari ini). Ini membawa kegembiraan kepada kita semua. Kita akan menyaksikan pesawat yang lebih besar,” katanya.
Mengucapkan tahniah kepada penduduk Mukah dengan perkembangan terkini itu, beliau berharap lapangan terbang baharu itu kelak akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan ini.
“Ini bukan hanya dari segi pengangkutan udara sahaja tetapi banyak memafaatkan kawasan kita daripada pelbagai aspek seperti pelancongan, ekonomi dan sosial. Malah ia juga memberi keselesaan kepada pensyarah-pensyarah dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi berasal dari luar kawasan yang bertugas di sini. Kita berharap perkhidmatan pengangkutan udara kita akan berkembang dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Lapangan Terbang Lama, kata Yussibnosh, beliau ingin berbincang dengan wakil-wakil rakyat dari kawasan Mukah.
“Oh ya kita tidak mahu ia akan terbengkalai sahaja selepas ini, kita mahu menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin. Dengan itu saya ingin berbincang dengan wakil-wakil rakyat di kawasan kita mengenai aspirasi kearah itu. Mungkin kita mempunyai cadangan yang bernas supaya tempat ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Antara yang boleh dipertimbangkan ialah menjadikan ia sebagai akademi penerbangan dan sebagainya yang dikirakan sesuai,” katanya.
Juga kelihatan ialah Pengarah Wilayah Sarawak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Ling Swee In dan beberapa staf-staf Lapangan Terbang, termasuk pengendali pesawat yang juga akan menjadikannya sebagai memori tersendiri buat mereka.
Perkembangan terkini itu semestinya disambut penduduk tempatan dengan penuh pengharapan dan keceriaan kerana Lapangan Terbang Baharu Mukah itu adalah antara projek mega yang amat dinantikan warga di kawasan ini dan Bahagian Mukah, amnya.
Oleh HENRY B SIYU