Lelaki 49 tahun ditahan, dipercayai pecah masuk rumah

Facebook
WhatsApp
DITAHAN... Suspek berusia 49 tahun ditahan polis hasil maklumat dan risikan berhubung kes pecah masuk sebuah rumah di Jalan Sze Chuan 2, Jalan Airport.

MIRI: Taktik seorang lelaki tempatan memecah masuk sebuah rumah di Jalan Sze Chuan 2, Jalan Airport di sini, terbongkar selepas pergerakannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Operasi Pencegahan Jenayah, Balai Polis Pusat Miri, di sebuah pondok tidak bernombor di tepi pantai Luak, Jalan Bakam, semalam.

Suspek berusia 49 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.

BUKTI… Antara pakaian yang dirampas polis selepas penahanan suspek bagi membantu siasatan lanjut.

“Berdasarkan semakan CCTV, suspek dipercayai memasuki rumah terbabit melalui pintu hadapan selepas merosakkan mangga kunci.

“Beberapa helai pakaian yang dirampas turut dijadikan barang kes bagi membantu siasatan lanjut,” menurut hantaran tersebut hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah.

Oleh Liong Chai Ling