Stadium Larkin hanya alternatif, Kuching City FC kekal mahu beraksi di Kuching

Facebook
WhatsApp
STADIUM Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Foto:Johor Southern Tigers

KUCHING: Kuching City FC menegaskan penggunaan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang alternatif bagi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027 bukan bermakna kelab itu akan meninggalkan Kuching.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, berkata Stadium Larkin hanya disediakan sebagai langkah persediaan sekiranya Stadium Taha Ariffin belum mendapat kelulusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin kini giat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan piawaian AFC.

“Kami yakin segala usaha sedang digerakkan untuk memastikan stadium tersebut bersedia dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan rasmi hari ini.

Beliau berkata, penyediaan Stadium Larkin sebagai venue alternatif tidak bermaksud Kuching City FC akan beraksi di Johor sepanjang kempen ACL2. Sebaliknya, ia merupakan perancangan awal bagi memastikan kelab mempunyai pilihan sekiranya berlaku perubahan jadual atau kelewatan dalam kerja-kerja menaik taraf stadium.

Kuching City FC turut memahami hasrat penyokong, pemain, barisan kejurulatihan serta seluruh warga Sarawak yang mahu menyaksikan detik bersejarah itu berlangsung di bumi sendiri.

“Hasrat utama kelab adalah untuk beraksi di Kuching di hadapan penyokong sendiri bagi semua perlawanan di laman sendiri,” katanya.

Iswandi berkata, penyediaan venue alternatif merupakan langkah profesional kelab bagi memastikan persiapan tidak terjejas ketika menghadapi cabaran di peringkat Asia.

Pada masa yang sama, fokus utama kelab kini adalah terhadap proses menaik taraf Stadium Taha Ariffin, selain menunggu pemeriksaan dan keputusan AFC selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai.

Kuching City FC dijadualkan beraksi di laman sendiri pada 15 Oktober 2026, sekali gus mengukuhkan keyakinan kelab bahawa Stadium Taha Ariffin mampu bersedia sebagai gelanggang tuan rumah sepanjang kempen ACL2 2026/27.

“Kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk memastikan semua perlawanan di laman sendiri Kuching City FC dapat dilangsungkan di Stadium Taha Ariffin,” katanya.

Oleh Adi Safarman