BINTULU, 8 Oktober: Tiga buah rumah struktur separuh kekal dilaporkan musnah 100 peratus dalam satu insiden kebakaran di Kampung Jepak Ulu di sini, malam ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.09 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu tiba di lokasi pada 8.18 malam.
Difahamkan, kebakaran melibatkan tiga rumah berkeluasan antara 22 kaki x 40 kaki hingga 30 kaki x 45 kaki.
“Ketiga-tiga rumah terbakar 100 peratus.
“BBP Kidurong turut digerakkan sebagai balai bantuan manakala sebuah jentera tangki air digunakan bagi membantu operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada 9.00 malam dan kerja-kerja memastikan bara api dipadam sepenuhnya dijalankan bagi mengelakkan kebakaran berulang.
Tiada mangsa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.




