FAIZAL BUJANG
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohd. Saif Jubaidi memberitahu, tiada gambaran jelas daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung status aksi dua saingan membabitkan skuad pelapis iaitu Sarawak United Piala Presiden 2020 dan Sarawak United Piala Belia 2020 setakat ini.
Di samping itu, satu lagi kejohanan di bawah kendalian badan induk berkenaan, Liga Futsal Premier Malaysia 2020 turut belum disahkan status.
Bagaimanapun, saingan CIMB Liga Super 2020, Liga Premier 2020 telah dicadangkan bersambung semula pada 1 dan 2 September depan.
Manakala saingan TM Piala Malaysia 2020 dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Oktober dan akan berakhir pada 7 November.
Menurut Mohd. Saif, pihaknya tidak berani untuk membuat sebarang tindakan susulan kerana belum ada perkeliling secara terperinci mengenai perkara itu.
“Kita belum menerima perkeliling secara terperinci berhubung status aksi membabitkan saingan Piala Presiden 2020, Piala Belia 2020 termasuk Liga Futsal Premier Malaysia 2020.
“Sama ada saingan membabitkan kesemuanya dibatal atau tidak…kami perlu tahu sebelum perlu melakukan tindakan susulan,” ujarnya.
Katanya, ia penting mengambil kira kontrak kesemua pemain yang terlibat dengan tiga kelompok liga berkenaan yang akan tamat pada November nanti.
Tambah Mohd. Saif, sekiranya kesemua tiga liga berkenaan turut dibatalkan maka pihaknya akan mengambil pendekatan sesuai difikirkan.
“Jika ia turut dibatalkan, ia akan dapat memudahkan kita membuat keputusan awal bagi mengadakan mesyuarat membincang status kontrak membabitkan kesemua pemain,” jelasnyalagi.
Beliau turut berharap kekalutan masalah berkenaan akan dapat diketahui dalam tempoh terdekat.
Baru-baru ini pihak MFL mengumumkan bahawa saingan CIMB Liga Super 2020, Liga Premier 2020 dijadualkan bermula pada 1 dan 2 September nanti.
Saingan akan berakhir pada 26 dan 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja.
Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.
TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.