DUN Tubau perlu dinilai berdasarkan jarak dan taburan pengundi

Facebook
WhatsApp
TUAI Rumah Lichong Along.

BINTULU: Cadangan pewujudan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tubau perlu dinilai berdasarkan jarak antara penempatan dan taburan pengundi bagi memastikan perwakilan di kawasan pedalaman Sarawak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Pengerusi Jelalong Tubau Action Committee (JTAC) Tuai Rumah Lichong Along berkata, faktor geografi dan kedudukan penempatan perlu diberi perhatian kerana masyarakat di kawasan berkenaan tinggal dalam kawasan yang luas dan berselerak.

Menurutnya, keadaan itu memberi cabaran kepada penyampaian perkhidmatan, khususnya apabila penduduk perlu menempuh jarak jauh untuk mendapatkan kemudahan asas atau berurusan dengan agensi kerajaan.

“Keadaan di kawasan pedalaman berbeza kerana jarak antara penempatan boleh menjadi sangat jauh.

“Ada masyarakat yang masih bergantung kepada jalan bekas balak dan laluan yang terjejas apabila berlaku kerosakan atau keadaan cuaca,” katanya dalam datu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, keadaan berkenaan bukan sahaja berkaitan kemudahan perhubungan, malah memberi kesan kepada akses masyarakat terhadap pendidikan, kesihatan, bekalan makanan dan kegiatan ekonomi.

Beliau memberitahu, pewujudan DUN Tubau dengan mengambil kira keadaan sebenar kawasan boleh membantu memastikan isu masyarakat dibawa secara lebih dekat dan mendapat perhatian secara berterusan.

“Apabila kawasan terlalu luas, tumpuan terhadap setiap penempatan menjadi lebih mencabar.

“Kita memerlukan perwakilan yang boleh memahami keadaan setiap komuniti dan membawa isu mereka secara konsisten,” katanya.

Ujarnya lagi, jumlah serta taburan pengundi juga perlu menjadi antara pertimbangan dalam proses persempadanan semula, termasuk mengambil kira pertambahan pengundi selepas umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Selain itu, tambahnya, keperluan pembangunan perlu dilihat secara menyeluruh termasuk jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, komunikasi, pendidikan serta kesihatan.

Beliau berkata, kemudahan asas yang lebih baik penting untuk mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan pedalaman dengan kawasan yang mempunyai akses lebih mudah.

“Cadangan DUN Tubau perlu dilihat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan. Yang penting ialah memastikan masyarakat mendapat perwakilan yang dekat, mudah dihubungi dan mampu memberi perhatian kepada isu setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mempertimbangkan faktor geografi, taburan penduduk dan pengundi serta keperluan pembangunan dalam menilai cadangan berkenaan.

“Ini bukan soal menambah kerusi semata-mata, tetapi memastikan sistem perwakilan benar-benar selari dengan keperluan masyarakat,” katanya.

Oleh Carolyne Utih