KUCHING: Langkah yang bakal diperkenalkan dalam Belanjawan 2027 bagi meringankan beban kumpulan M40 perlu bersifat praktikal dan mampu menangani tekanan kos sebenar yang dihadapi keluarga berpendapatan sederhana.
Pemangku Setiausaha dan Ketua Pemuda Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kuching, Cr. Nicholas Wung Duk Ying berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Belanjawan 2027 akan merangkumi langkah membantu kumpulan M40 merupakan hala tuju yang dialu-alukan.
Bagaimanapun, katanya, langkah tersebut perlu mengambil kira realiti kewangan golongan berpendapatan sederhana yang turut berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurut Wung, banyak isi rumah M40 sering dianggap selesa dari segi kewangan, sedangkan mereka turut dibebani bayaran pinjaman perumahan dan kenderaan, kos pendidikan anak-anak, perubatan dan insurans, pengangkutan serta perbelanjaan harian.
“Banyak keluarga M40 mungkin kelihatan stabil di atas kertas, tetapi mereka masih perlu menguruskan perbelanjaan bulanan dengan teliti.
“Mereka mempunyai pendapatan, tanggungjawab dan komitmen, tetapi sering tidak layak menerima kebanyakan bantuan tunai atau subsidi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan M40 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan merangkumi pekerja, golongan profesional, peniaga kecil, keluarga muda serta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sehubungan itu, katanya, Belanjawan 2027 tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan sekali beri, sebaliknya memberi tumpuan kepada langkah lebih bersasar dalam aspek percukaian, penjagaan anak, pendidikan, perumahan, kesihatan, pengangkutan dan kos perniagaan.
Wung mencadangkan kerajaan memperluaskan pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan seperti pendidikan anak-anak, penjagaan kanak-kanak, keperluan perubatan ibu bapa, insurans, latihan kemahiran dan peranti digital.
Katanya, ramai profesional muda, guru, jurutera, petugas kesihatan dan pengusaha perniagaan kecil di Kuching dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sederhana, namun masih berdepan tekanan kewangan.
“Berdasarkan penglibatan kami di peringkat akar umbi, keluarga muda M40 paling bimbang mengenai pinjaman perumahan, yuran penjagaan kanak-kanak, pendidikan anak-anak, perbelanjaan makanan, kos pengangkutan dan keperluan menyara ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, Wung mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak merangka dasar berkaitan M40 hanya berdasarkan kos sara hidup di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, faktor geografi Sarawak yang luas, kos logistik lebih tinggi serta kebergantungan kepada perjalanan udara bagi tujuan pengajian, pekerjaan, rawatan perubatan dan urusan keluarga menyebabkan kumpulan M40 di negeri ini berdepan tekanan kos yang berbeza.
“Jika dasar hanya melihat angka pendapatan tanpa mengambil kira kos mengikut wilayah, ia tidak akan benar-benar adil,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan Kementerian Kewangan mengkaji mekanisme bantuan khusus untuk golongan berpendapatan sederhana di Malaysia Timur menerusi Belanjawan 2027, khususnya melibatkan kos pengangkutan, logistik dan perbelanjaan isi rumah.
Wung berkata, peniaga kecil dan pengusaha PKS dalam kumpulan M40 juga berdepan peningkatan kos sewa, tenaga kerja, bahan mentah, elektrik dan operasi.
Menurutnya, insentif cukai, pembiayaan berkadar faedah rendah, geran transformasi digital dan latihan perniagaan antara langkah yang boleh membantu golongan berkenaan kekal berdaya saing.
“Fokus Perdana Menteri terhadap kumpulan M40 merupakan satu isyarat positif. Apa yang penting sekarang ialah kerajaan mendengar pandangan keluarga, golongan muda, peniaga, golongan profesional dan masyarakat setempat sebelum memuktamadkan langkah-langkah tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 akan lebih bermakna sekiranya mampu menangani kebimbangan sebenar kumpulan M40, mengurangkan tekanan terhadap isi rumah serta meningkatkan keyakinan keluarga berpendapatan sederhana terhadap masa depan.
Oleh Connie Chieng





