LIMBANG: Pembangunan pesat Sarawak perlu diimbangi dengan pembentukan insan yang berilmu, berintegriti, berakhlak dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, al-Quran mengandungi hikmah terbesar dan menjadi antara asas penting bagi umat Islam dalam membangunkan masyarakat.
Menurutnya, dalam bidang ekonomi, al-Quran mengajar manusia mencari rezeki dan membangunkan kekayaan berlandaskan prinsip keadilan serta kejujuran, selain menjauhi amalan riba, penipuan dan pengambilan harta secara salah.
“Dalam dunia yang semakin pesat berubah, tuntutan ini menjadi semakin penting. Perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan pelbagai bidang ilmu menuntut masyarakat kita sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
“Kita tidak mahu umat Islam sekadar menjadi pengguna kepada kemajuan teknologi. Kita mahu melahirkan generasi yang mampu menguasai ilmu, mencipta inovasi dan menyumbang kepada kemajuan, tetapi pada masa yang sama tetap mempunyai tunjang iman, akhlak dan nilai yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Limbang Tahun 1448H/2026M di Dewan Bunga Raya, di sini malam tadi.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, kemajuan ekonomi bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah kekayaan yang mampu dihasilkan, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana kekayaan itu memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, perkara itu selari dengan tema majlis Tilawah al-Quran tahun ini, iaitu ‘Ummah Maju Makmur’, yang menekankan pembentukan ummah yang maju dalam ilmu, pendidikan, teknologi dan ekonomi, selain makmur dalam kehidupan, sejahtera masyarakat serta kukuh nilai dan akhlaknya.
“Dalam kita mengejar kemajuan, umat Islam harus sentiasa mengingati bahawa al-Quran membina manusia terlebih dahulu sebelum membina tamadun.
“Sebuah masyarakat yang hebat lahir daripada manusia yang mempunyai ilmu, disiplin, amanah, kasih sayang, integriti dan akhlak yang baik.
“Teknologi yang canggih, kekayaan sumber dan pembangunan memerlukan manusia yang amanah untuk menguruskannya. Oleh itu, kemajuan material dan pembangunan insan mesti bergerak seiring,” katanya.
Dalam pertandingan tilawah, Musidi Drahman muncul johan kategori qari, diikuti Muhamad Khairul Adib Tugiman di tempat kedua dan Norhalim Lokman di tempat ketiga.
Kategori qariah pula dimenangi Damit Samat, manakala Supatri Ili di tempat kedua dan Juliana Ismail di tempat ketiga.
Sebagai johan, Musidi dan Damit masing-masing menerima wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil.
Naib johan menerima wang tunai RM1,200, plak dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang RM1,000 berserta plak dan sijil.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Oleh Adeng Edrus




