RM12,000 perkasa pendidikan SK Nanga Semawang

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menyerahkan sumbangan RM12,000 kepada SK Nanga Semawang, semalam. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

PAKAN: Pendidikan anak-anak di luar bandar perlu terus diperkasakan menerusi kerjasama erat antara sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti bagi membina modal insan berkualiti serta membuka peluang masa depan yang lebih baik.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk kehidupan generasi akan datang, justeru semua pihak mempunyai peranan dalam memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang terbaik.

Sehubungan itu, beliau menyalurkan sumbangan RM12,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Semawang sempena Majlis Serumpu bersama komuniti Semawang  bagi menyokong usaha memperkukuh pendidikan dan pembangunan modal insan setempat.

“Jasa dan pengorbanan warga pendidik perlu sentiasa dikenang kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam membentuk generasi baharu.

“Ilmu yang dimiliki masyarakat hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan dan didikan guru, selain asuhan daripada ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, Larry merakamkan penghargaan kepada Guru Besar SK Nanga Semawang, Ebin, yang bersara selepas 38 tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan.

DATUK Larry Sng Wei Shien memotong kek sempena Majlis Serumpu bersama komuniti Semawang. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

Katanya, sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai guru besar sekolah berkenaan, Ebin memberikan sumbangan bermakna terhadap perkembangan sekolah serta usaha membentuk modal insan dalam komuniti setempat.

“Terima kasih atas segala jasa dan sumbangan beliau serta didoakan agar sentiasa  dikurniakan kesihatan yang baik dan kejayaan dalam kehidupan selepas bersara.

“Jasa beliau akan terus dikenang,” katanya.

Menurutnya, tempoh perkhidmatan yang panjang itu mencerminkan komitmen seorang pendidik dalam membimbing generasi demi generasi, khususnya bagi memastikan murid di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Beliau pada masa sama berharap ibu bapa terus memberikan sokongan kepada pihak sekolah kerana pendidikan anak-anak bukan tanggungjawab warga pendidik semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh komuniti.

Katanya, hubungan erat antara sekolah dan masyarakat dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk perkembangan Pendidikan dan membantu anak-anak membina asas kukuh bagi menghadapi masa depan.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang sebaiknya dan seterusnya mempunyai peluang membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Oleh Earl Anek