Berbaki satu hektar, kebakaran hutan Kampung Kut hampir dipadam sepenuhnya

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran hutan Kampung Kut, Daro hari ini. Foto Bomba

DARO: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kampung Kut di sini memasuki hari kesembilan dengan hanya satu hektar daripada keseluruhan 29 hektar kawasan terbakar masih belum berjaya dipadam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro, PBT II Hasman Bakar berkata, sebanyak 28 hektar kawasan berjaya dipadam menerusi operasi yang dibahagikan kepada dua sektor.

Katanya, seramai enam anggota ditempatkan di sektor satu berhampiran stesen minyak Buraq Oil bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.

“Dua pasukan membabitkan 14 anggota pula ditempatkan berhampiran Menara Celcom bagi memadam kebakaran.

“Bekalan air bagi sektor ini diperoleh daripada ‘dam check’ yang digali sedalam antara 15 hingga 20 kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

OPERASI pemadaman kebakaran hutan di Kampung Kut, Daro memasuki hari kesembilan dengan 28 daripada keseluruhan 29 hektar kawasan terbakar berjaya dipadam. Foto Bomba

Beliau berkata, teknik ‘total flooding’ turut digunakan bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan lain.

Hasman berkata, operasi bagaimanapun berdepan beberapa kekangan termasuk cuaca panas dan kering, tiupan angin, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit.

Katanya, liputan GIRN yang kurang memuaskan turut menjadi cabaran kepada operasi, walaupun sistem komunikasi itu masih boleh digunakan.

“Jarak sumber air yang jauh dari punca api mengehadkan keluasan pemadaman, manakala keadaan panas, berdebu serta bahang daripada tanah menyukarkan pergerakan anggota.

“Beberapa ‘dam check’ tambahan perlu digali bagi menambah sumber air sedia ada,” katanya.

Operasi ditangguhkan pada 6.00 petang dan akan disambung semula esok dengan tumpuan diberikan kepada pemadaman baki satu hektar kawasan yang masih terbakar.

Oleh Tarani Lanting