Jangan ambil ikan bertelur, kecil bagi jamin sumber berterusan – Rundi

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom berucap pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AGRICOP) di Rumah Renang, Pasir Putih, Sungai Sigu, Pandan Sebauh, hari ini.

SEBAUH: Masyarakat diingatkan supaya tidak menangkap ikan yang masih kecil atau bertelur bagi memastikan sumber perikanan terus berkembang dan dapat dimanfaatkan secara berterusan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, amalan menangkap ikan secara berlebihan termasuk menggunakan kaedah yang merosakkan ekosistem sungai boleh menjejaskan sumber berkenaan dalam jangka panjang.

Menurutnya, ikan yang sedang bertelur perlu dibiarkan bagi membolehkan proses pembiakan berlaku, sekali gus mengekalkan populasi ikan di sungai.

DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom melakukan simbolik penanaman pokok pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AGRICOP) di Rumah Renang, Pasir Putih, Sungai Sigu, Pandan Sebauh, hari ini.

“Kalau ikan sedang bertelur, jangan ambil dan bawa pulang. 

“Biarkan ia membiak supaya kita masih mempunyai banyak ikan,” katanya ketika berucap pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AGRICOP) yang berlangsung di Rumah Renang Berita di Pasir Putih, Sungai Sigu, Pandan Sebauh di sini, hari ini.

Rundi turut menegaskan penggunaan kaedah seperti menuba dan meracun untuk menangkap ikan perlu dielakkan kerana boleh memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem sungai.

Katanya, pengurusan sumber udang juga perlu diberi perhatian dengan mengelakkan penangkapan udang yang masih kecil atau bertelur.

DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom melakukan simbolik perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AGRICOP) di Rumah Renang, Pasir Putih, Sungai Sigu, Pandan Sebauh, hari ini.

Beliau berkata, kelestarian sumber perikanan bukan sahaja berkaitan keperluan masyarakat ketika ini, malah merupakan tanggungjawab bersama untuk memastikan sumber berkenaan kekal tersedia kepada generasi akan datang.

“Kelestarian sumber ini merupakan tanggungjawab kita dan ia mesti tahan lama supaya generasi akan datang turut dapat menikmatinya,” ujarnya.

Oleh Carolyne Utih