227 pelajar cemerlang SPM Sri Aman diingatkan lengkapi ilmu dengan akhlak, integriti

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Doris Sophia Brodie pada majlis Anugerah Apresiasi Fly Kenyalang Fly untuk ‘A’ Achievers SPM 2025 peringkat Parlimen Sri Aman 2026, di Simanggang hari ini. Foto: Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG: Dunia moden hari ini bukan sahaja menuntut penguasaan ilmu, teknologi, komunikasi dan pemikiran kritis, malah memerlukan pembentukan akhlak, disiplin serta integriti yang tinggi untuk mencapai kejayaan sebenar.

​Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan, gandingan antara kecemerlangan akademik dan keperibadian terpuji merupakan formula terpenting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing.

​”Kejayaan anda hari ini bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata, tetapi ia mencerminkan disiplin, pengorbanan, ketabahan dan keazaman yang tinggi untuk berjaya.

​”Pendidikan adalah kunci utama kejayaan. Namun, dalam mengejar kemajuan teknologi dan ilmu pengetahuan, kejayaan sebenar hanya akan lengkap apabila disertai dengan nilai akhlak dan integriti yang kukuh,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Apresiasi Fly Kenyalang Fly untuk ‘A’ Achievers SPM 2025 peringkat Parlimen Sri Aman 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman, dekat sini hari ini.

​Seramai 227 pelajar cemerlang dari lima sekolah menengah di kawasan berkenaan diraikan dalam majlis tersebut, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, SMK Melugu, SMK Simanggang, SMK Saint Luke dan SMK Sri Aman.

​Mengulas lanjut, Doris turut mengingatkan para pelajar agar memanfaatkan pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri demi masa depan yang lebih cerah.

​”Sebagai anak Sarawak, kita amat bertuah kerana kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada sektor pendidikan. Ini terbukti menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang membuka pintu dan peluang lebih luas untuk anak tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

​”Ingatlah, di mana anda bermula tidak menentukan di mana anda akan berakhir. Bermimpilah setinggi mungkin, berusahalah bersungguh-sungguh dan jangan sesekali takut untuk gagal.

“Hari ini kita meraikan kejayaan SPM anda, dan esok, saya mahu kita meraikan sumbangan besar anda kepada Sarawak dan Malaysia,” tambahnya.

​Turut hadir pada majlis tersebut Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abd Rahmad Muhiyuddin; Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Bunsie Tunton; Penyelia Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman, Kaunselor Sugom Sadai; barisan Ketua Masyarakat; Pengetua serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah terlibat.

Oleh Adi Safarman

Empat pasukan mara separuh akhir PSDC 2026

KUCHING: Empat pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (Premier of Sarawak Debate Challenge Cup/PSDC) 2026 selepas