PETALING JAYA: Ingatan terhadap kasih seorang ibu yang pergi buat selama-lamanya menjadi pembakar semangat atlet boling Sarawak, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan untuk melakukan yang terbaik sehingga berjaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.
Isyraq, yang ditemui Utusan Sarawak di Sunway Megalanes, mengakui setiap balingan dalam saingan kali ini turut mengingatkannya kepada arwah ibunya yang meninggal dunia akibat sakit jantung tahun lalu.
“Memang gembira gila-gila. Sebab pingat emas ini untuk mak saya,bapa saya, keluarga dan Sarawak.
“Mak saya sudah meninggal tahun lepas kerana sakit jantung. Ada juga saya teringatkan mak dan mungkin sebab itu saya dapat beraksi dengan baik,” katanya.
Atlet berkenaan berkata, dia sendiri tidak menjangkakan mampu berada di kedudukan teratas selepas mengakui prestasinya sebelum itu tidak begitu memberangsangkan.

“Saya tidak jangka benda ini akan berlaku sebab ada juga permainan yang saya tidak berada pada prestasi terbaik malam sebelumnya.
“Tahu-tahu tiba-tiba saya berada di tempat teratas,” katanya.
Menurut Isyraq, sokongan padu daripada jurulatih turut membantunya mengekalkan fokus sepanjang pertandingan tanpa terpengaruh dengan keadaan di sekeliling.
“Jurulatih saya sangat-sangat menyokong saya. Jadi saya hanya fokus dan tidak pedulikan apa yang berlaku di sekeliling.
“Saya fokus sahaja,” katanya.
Kejayaan itu menjadi lebih bermakna buat Isyraq yang membuat penampilan kedua di pentas Sukma selepas sebelum ini membantu Sarawak meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan pada edisi terdahulu.
Bagaimanapun, dia belum pernah meraih pingat dalam acara individu sebelum ini, menjadikan emas kali ini satu pencapaian istimewa dalam kariernya.
Isyraq turut berharap kejayaannya dapat menyuntik semangat kepada rakan-rakan atlet Sarawak untuk terus berjuang menambah koleksi emas kontinjen Bumi Kenyalang.
“Nasihat saya, bermainlah bersungguh-sungguh dan berikan satu lagi emas untuk Sarawak supaya Sarawak boleh menjadi juara keseluruhan sekali lagi, kali ketujuh tahun ini,” katanya.
Bagi Isyraq, emas itu bukan sekadar kejayaan di gelanggang, sebaliknya menjadi hadiah paling bermakna buat insan yang sentiasa menjadi sumber kekuatannya.
“Pingat emas ini untuk mak saya,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





