Kelab Lions Sibu Queenway, SJA kumpul dana RM4,900 bantu keluarga mendiang koperal Chiu

Facebook
WhatsApp
SUMBANGAN.....Tiang (tujuh kiri) dan Abdul Taib (lima kiri) menyerahkan sumbangan kepada Tang dan Chok. Turut disaksikan oleh Florence (enam kanan) serta yang lain.

SIBU: Kelab Lions Sibu Queensway dengan kerjasama Persatuan Wartawan Sibu (SJA) berjaya mengumpul sumbangan RM4,900 bagi membantu keluarga mendiang Koperal Chiu Teck Siong yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, baru-baru ini.

Sumbangan kewangan berkenaan diserahkan terus kepada balu mendiang, Tang Wei Wei, 39, dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.

Pengerusi Pengasas Kelab Lions Sibu Queensway, Albert Tiang berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga mendiang, khususnya dalam menampung perbelanjaan awal serta persekolahan lima anak mereka.

“Usaha ini mendapat sambutan amat baik daripada ahli kelab, rakan-rakan serta orang ramai yang prihatin. Sumbangan ini diharap dapat memberi sokongan kewangan segera kepada keluarga terbabit dalam mengharungi tempoh sukar ini,” ujarnya.

Menurutnya, sebahagian besar dana berkenaan akan disalurkan khusus untuk yuran dan perbelanjaan persekolahan anak-anak mendiang yang berumur antara empat hingga 11 tahun menerusi kerjasama Lembaga Pengurusan Tadika Sing Ang Tong dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tiong Hin.

Dalam kejadian pada 6 Ogos lepas, Koperal Teck Siong, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk memetik kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort.

Dua lagi anggota yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Turut hadir, Pengerusi SJA, Florence Nervyn, Presiden Kelab Lions Sibu Queensway, Abdul Taib Rosli, Timbalan Pengarah Lembaga Pengurusan Tadika Sing Ang Tong, Tang Chok Sing dan yang lain.

Oleh Tarani Lanting